ZON EKONOMI ANJUNG SELATAN: ELAK PERSAINGAN, PACU KEBERSAMAAN 3 NEGERI
SERI NEGERI 31 Disember – Perancangan merealisasikan kewujudan Zon Ekonomi Anjung Selatan di antara Melaka, Johor dan Negeri Sembilan bakal menjadi satu titik tolak baharu yang memacu kebersamaan di antara tiga buah negeri.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kewujudan zon ekonomi yang terletak di kawasan persempadanan atau perbatasan negeri itu juga dapat mengelakkan persaingan sesama negeri yang akhirnya menutup peluang ekonomi yang seharusnya dirasai ketiga-tiga negeri.
Pada masa sama, ujar beliau, kerjasama itu juga dapat membantu dalam aspek guna sama modal insan dalam sesuatu pembangunan yang dirancang, tidak kiralah dalam apa jua sektor.
“Mengambil contoh sekiranya Johor ingin membangunkan sektor pelancongan di kawasan utara mereka, Melaka boleh memberi bantuan yang diperlukan dan begitu juga sebaliknya.
“Konsep sama boleh digunakan di Negeri Sembilan sekiranya mahu mengembangkan zon ekonomi di kawasan Melaka, negeri ini akan membantu kerana sudah pasti limpahan ekonomi itu akan dirasai oleh kedua-dua negeri.
“Ini secara tidak langsung dapat mengelak daripada ketiga-tiga negeri bersaing, sebaliknya memacu kebersamaan untuk tiga negeri ini mengembangkan ekonomi masing-masing di kawasan persempadanan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media hari terakhir Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad.
Mengulas lanjut, Ab Rauf juga memaklumkan menerusi kewujudan zon ekonomi baharu itu, ia turut membantu mengelakkan sebarang bentuk pertindihan sesuatu sektor atau industri yang dibangunkan.
“Contohnya, jika sempadan Melaka dibangunkan satu zon untuk elektronik, di sebelah Johor kita boleh memberi fokus berlainan umpamanya kilang pemasangan kereta.
“Jadi, kepentingan itu tidak bertindih dan kemajuan yang dirangka dapat dicapai dengan lebih baik menerusi perbincangan di antara tiga buah negeri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.