Zon Motosikal elak kemalangan di lampu isyarat

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER KEROH 12 Oktober – Zon Motosikal pertama diwujudkan di Melaka berfungsi untuk memberi kemudahan kepada penunggang motosikal, selain mengurangkan kadar kemalangan di lampu isyarat.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata, projek rintis zon motosikal itu telah diperkenalkan di Jalan Hang Tuah dan ia bakal diperluaskan di beberapa lokasi lain dalam kawasan Bandaraya Melaka.

Menurut beliau, penstrukturan trafik itu adalah bagi menjamin keselamatan pejalan kaki untuk melintas dan memberi kemudahan kepada pengguna motosikal berhenti dalam keadaan selamat.

Jelas beliau, zon berkenaan merupakan satu garisan di kawasan persimpangan lampu isyarat yang mana ia telah dicat dengan warna merah dan putih bagi mematuhi Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) melalui Seksyen 77 (6).

“Zon ini menjadi penanda kepada setiap penunggang motosikal untuk berhenti di dalam petak khas sementara menunggu lampu isyarat.

“Kenderaan lain selain motosikal perlu memberhentikan kenderaan masing-masing di belakang petak tersebut dan tidak dibenarkan memasuki garisan dalam zon ini.

“Sebagai tambahan, MBMB telah memasang pembesar suara bagi memberi pemakluman kepada pengguna jalan raya yang tidak mematuhi arahan yang ditetapkan,” katanya kepada Melaka Hari Ini pada Smart Melaka International Conference and Expo 2023 (SMIX2023) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Menurut Shadan, sekiranya pengguna jalan raya gagal mematuhi arahan di kawasan Zon Motosikal, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500.

“Antara kelebihan Zon Motosikal ini, ia turut dilengkapi dengan Sistem Pejalan Kaki Automatik (SiPKA) MBMB, Sistem Pintar Kawalan Trafik MBMB (SPiKTRA-M), lampu isyarat berinteraktif dengan pengunaan teknologi terkini di mana lampu akan turut menyala mengikut warna lampu yang dipaparkan.

“Semoga dengan satu lagi usaha murni MBMB ini akan mengurangkan indeks kemalangan jalan raya dan jenayah selain meningkatkan kesedaran kepada penguna jalan raya khususnya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1056
Kongsi :
Previous post Pesta Deepavali berlangsung selama 16 hari
Next post MTA angkat keunikan kebaya
Ubah saiz-+=