Zoo Melaka kembali bernafas

Masa Membaca:2 Minit, 39 Saat
FOTO Din Ahmad

AYER KEROH 14 Jun – Zoo Melaka di sini yang sepi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan mulai 18 Mac lalu, kini mula menerima kunjungan orang ramai yang tidak mahu melepaskan peluang menikmati harga tiket promosi.

Zoo yang sebelum ini tidak ceria lantaran ketiadaan pengunjung, kini kembali ceria dangan suara orang ramai yang memenuhi pelbagai ruang dalam zoo.

FOTO Din Ahmad

Sejurus selepas pintu kaunter tiket dibuka jam 8.30 pagi, pengunjung tidak putus berbaris dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semata-mata untuk menyaksikan 120 spesies haiwan.

Pengarahnya, Zanariah Khamis berkata, beliau dan kakitangan zoo amat berbesar hati menerima kunjungan orang ramai, terutama ibu bapa yang membawa anak masing-masing untuk menyaksikan pelbagai jenis haiwan.

“Sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac lalu hingga 9 Jun lalu, zoo ini amat sunyi tanpa suara orang ramai, terutama kanak-kanak tetapi sekarang, alhamdulillah orang ramai sudah mula memenuhi pelbagai sudut untuk menyaksikan haiwan.

“Kami berharap lebih ramai lagi pengunjung hadir di sini bukan setakat untuk menyaksikan haiwan, malah membantu memperkukuh dana zoo yang sebelum ini terjejas akibat ketiadaan pengunjung,” katanya ketika ditemui di zoo itu.

Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dari 10 Jun hingga 31 Ogos depan, Zoo Melaka menawarkan harga promosi RM10 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Katanya, selain mencatatkan suhu badan pengunjung, pihak pengurusan turut mengambil nombor telefon mereka, selain menyediakan sesi rehat dimulakan dari jam 12 tengah hari hingga 2 petang bagi membolehkan proses sanitasi dilakukan bagi memastikan zoo bebas daripada virus berbahaya.

Zoo berkenaan mempunyai lima harimau belang atau Harimau Malaya, seekor harimau belang putih Bengal, lima harimau kumbang dan dua singa yang setiap seekor memerlukan enam kilogram daging sehari.

FOTO Din Ahmad

Beliau berkata, ia tidak termasuk bahan makanan untuk haiwan lain seperti gajah, seladang, buaya dan seumpamanya yang turut membabitkan kos yang tinggi tetapi zoo tidak mampu menyediakan dana secukupnya akibat ketiadaan pengunjung.

Zoo Melaka mencatatkan kunjungan 535,000 pelawat tahun lalu, meningkat 20 peratus berbanding pelawat dicatatkan sepanjang operasi tahun sebelumnya.

Katanya, dengan pembukaan zoo berkenaan kepada pengunjung, pihak pengurusan yakin mampu memperoleh dana operasi mencukupi untuk membiayai kos makanan 650 haiwan yang bernilai RM180,000 sebulan.

Setakat ini Tabung Sumbangan Zoo Melaka yang dilancarkan pada 4 April lalu hanya berjaya mengumpulkan dana RM94,000 dan ia tidak cukup untuk membiayai kos berkenaan sepanjang penutupan zoo.

Beliau berkata, Zoo Melaka tidak mempunyai sumber lain, kecuali wang yang dikutip daripada pengunjung dan bagi operasi tahun lalu pihak pengurusan memperoleh RM8.8 juta tetapi bagi tahun ini, perolehan seumpama itu tidak mungkin berjaya dikumpulkan berikutan pandemik Covid-19.

Bagi menampung keperluan makanan semasa, zoo terpaksa mendapatkan bantuan bahan makanan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri, Jabatan Pertanian negeri, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Zon Selatan.

Selain itu, kos berkenaan turut ditampung pemilik Zoo Melaka, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) tetapi dengan sumber kewangan terhad, katanya.

Views:

990
Kongsi :
Previous post KWSP catat RM12.16 bln pendapatan pelaburan kasar dalam suku pertama
Next post Kaunter semakan, bayaran saman trafik dibuka mulai esok
Ubah saiz-+=