1.11 juta individu lengkapkan dua dos vaksin COVID-19 setakat semalam- Dr Adham

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

KUALA LUMPUR 3 Jun – Seramai 1,114,684 individu di negara ini sudah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 setakat semalam (2 Jun), kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Dr Adham menerusi akaun Twitternya hari ini berkata, seramai 2,098,189 individu telah menerima dos pertama menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini sebanyak 3,212,873 dos setakat semalam.

Katanya lima negeri yang telah melengkapkan kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 145,539 dos diikuti Sarawak (111,322), Perak (105,298), Kuala Lumpur (101,221) dan Johor (97,974).

Setakat semalam, beliau berkata 51.90 peratus atau 12,584,422 individu mendaftar untuk menerima suntikan vaksin dengan Selangor mencatat jumlah pendaftaran tertinggi iaitu 3,337,532 orang.

Mengikut perancangan program imunisasi itu, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga April lalu melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua bermula April hingga Ogos ini pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya manakala fasa ketiga yang dijadual pada Mei tahun ini hingga Februari 2022, melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara, dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

329
Kongsi :
Previous post Lelaki dituduh subahat dengan rakan, beri rasuah RM120,000 kepada pegawai polis
Next post Diskaun 5 hingga 20 peratus beli atas talian- FAMA
Ubah saiz-+=