Diskaun 5 hingga 20 peratus beli atas talian- FAMA

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

JASIN 3 Jun – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka melaksanakan kaedah ‘pick up point’ secara pandu lalu yang pertama di Japerun Rim bagi membantu masyarakat mendapatkan bekalan makanan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

Ahli Lembaga Pengarah FAMA Datuk Wira Ghazale Muhammad berkata, pelanggan yang membeli secara atas talian akan mendapat potongan harga lima hingga 20 peratus lebih murah berbanding harga di pasaran.

MUDAH dan selamat….seorang pembeli menerima barangan yang ditempah dalam talian daripada Ghazale melalui kaedah pandu lalu.

“Melalui kaedah itu pembeli boleh membuat tempahan secara atas talian di platform yang FAMA negeri sediakan seperti laman media sosial Agro Bazaar Online, Facebook FAMA Melaka dan aplikasi WhatsApp.

“Kita buat kaedah belian atas talian untuk bantu mudahkan orang ramai menempah dan membeli barangan.

“FAMA akan sediakan barang itu untuk diambil secara pandu lalu setiap Selasa dan Khamis bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah hari di sini (Japerun Rim),” katanya selepas penyerahan barangan bagi Program Pasar Segar Terkawal (PST) secara pandu lalu di Japerun Rim, di sini hari ini.

Jelas Ghazale, FAMA menyediakan 20 jenis produk bekalan komuniti utama seperti ayam segar, daging segar, ikan, sayur-sayuran, barangan runcit terpilih, buah-buahan dan produk Industri Asas Tani (IAT).

“Program ini kita buat kali pertama di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, kita dah dapat lebih kurang 50 tempahan yang dibuat secara ‘online’ dua atau tiga hari lalu.

“Kaedah ini dapat mengurangkan orang berkumpul selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya lagi.

Katanya, penyerahan secara pandu lalu itu akan dilaksanan di kawasan Merlimau dan Serkam selepas ini bagi memastikan penduduk di kawasan itu mendapat manfaat yang sama.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

408
Kongsi :
Previous post 1.11 juta individu lengkapkan dua dos vaksin COVID-19 setakat semalam- Dr Adham
Next post 10,000 sukarelawan Olimpik Tokyo tarik diri
Ubah saiz-+=