10 lokasi pelancongan percuma Melaka kena serbu

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 20 Februari – Tarikan pelancongan Negeri Melaka, hari ini, meriah diserbu pengunjung dan pelancong.

Ia bersempena Tarikh Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang merupakan cuti umum baharu untuk Negeri Melaka.

Di Zoo Melaka, di sini, orang ramai mula memenuhi taman haiwan itu seawal jam 7.30 pagi lagi.

Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati lautan manusia mula beratur sebaik sahaja Zoo Melaka dibuka pada jam 9 pagi tadi.

Begitu juga di Melaka World Heritage Studios yang dahulunya dikenali sebagai Taman Mini Malaysia dan Melaka Wonderland Theme Park.

Orang ramai mula menyerbu taman warisan ajaib dan taman tema air itu yang turut menawarkan kemasukan secara percuma sejak awal pagi lagi.

Melaka River Cruise tidak terkecuali menerima tempias apabila ribuan orang ramai turut memanfaatkan cuti umum dan kemasukan percuma untuk membawa anak-anak mereka merasai tarikan pelancongan menelusuri Sungai Melaka dengan menaiki bot.

Sebanyak 15 buah bot disediakan di Melaka River Cruise ini yang menawarkan kemasukan percuma dari jam 9 pagi hingga 1 tengah hari dan bersambung 2 hingga 5 petang.

Kelihatan, orang ramai sanggup beratur kira-kira satu kilometer untuk merasai tarikan percuma yang diberikan Kerajaan Negeri sempena cuti umum ini.

Selain itu, Menara Taming Sari turut dipenuhi orang ramai sejak awal pagi dengan orang ramai dilihat beratur panjang untuk merasai pengalaman menaiki menara berputar 360 darjah itu.

Suasana di muzium-muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka juga tidak kurang hebatnya apabila dipenuhi orang ramai. Begitu juga Muzium Penjara di Banda Hilir yang juga menawarkan kemasukan percuma.

Selain yang disenarai di atas, produk lain yang menawarkan kemasukan percuma ialah Balai Cerap Al-Khawarizmi di Tanjung Bidara; lima kelab golf di Melaka dan Taman Laut Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1303
Kongsi :
Previous post Raptai Sambutan Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu curi perhatian
Next post 15 bot percuma di Sungai Melaka
Ubah saiz-+=