10 pasangan ikat tali cinta tarikh istimewa 22.2.22

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 22 Feb – Seramai 10 pasangan di negeri ini memilih 22 Feb 2022 (22.2.22) sebagai tarikh untuk memeterai ikatan cinta menerusi pendaftaran perkahwinan di Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Melaka, di sini.

Majlis istimewa itu turut dihadiri EXCO Wanita, Pembangunan Keluarga dan Masyarakat Negeri Datuk Kalsom Nordin yang menyaksikan sendiri sesi pendaftaran, angkat sumpah dan penyerahan sijil pengesahan perkahwinan.

Menurut Pengarah JPN Melaka Norazle Sulaiman, majlis itu diadakan bertujuan untuk meraikan pasangan yang menjalankan proses perkahwinan pada tarikh istimewa.

Katanya, ia merupakan kali keempat majlis pendaftaran perkahwinan istimewa mengikut tarikh diadakan selepas program sama pada 12 Dis 2012 (12.12.12), 20 Feb 2020 (20.02.20) dan 21 Dis 2021 (21.12.21) lalu.

“Kebiasaannya, hari mendaftar perkahwinan ditetapkan pada Khamis dan Jumaat sahaja di tiga Pejabat JPN Melaka di daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.

“Tapi untuk tarikh-tarikh tertentu dan istimewa, selain ada keperluan mendesak untuk menyegerakan pendaftaran perkahwinan kita akan buka untuk mereka.

“Pendaftaran perkahwinan ini adalah di bawah kuasa jabatan ini untuk pasangan bukan Islam yang dibuat mengikut Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 (Pindaan 2017),” katanya.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 1,121 perkahwinan telah didaftarkan di negeri ini dan bagi dua bulan pertama tahun ini sebanyak 173 pasangan berkahwin didaftarkan.

“Meskipun kita dilanda pandemik COVID-19 sejak 2020 lalu, jumlah pendaftaran perkahwinan di negeri ini tidak terjejas dengan ketara kerana jumlahnya boleh dikatakan hampir sama setiap tahun,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1180
Kongsi :
Previous post Polis Melaka gerakkan 308 keanggotaan bantu PRN Johor
Next post PRN Johor: Daftar Pemilih Pilihan Raya mula dijual – SPR
Ubah saiz-+=