10,000 rakyat Melaka dijangka terima suntikan vaksin fasa pertama, awal Mac depan

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

MELAKA 19 Feb. – Kira-kira 10,000 rakyat negeri Melaka antaranya petugas barisan hadapan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dijangka menerima suntikan vaksin dalam fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, pada awal Mac depan.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, pemberian suntikan vaksin berkenaan akan dilakukan di Hospital Melaka serta klinik kesihatan terpilih di sekitar negeri itu dan lokasinya akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Program ini akan berlangsung dalam tiga fasa dan bagi fasa pertama ini keutamaan diberikan kepada golongan tertentu antaranya petugas barisan hadapan sebelum diperluaskan kepada seluruh rakyat Melaka secara berperingkat melibatkan 670,000 orang.

“Kita juga mungkin menggunakan premis lain antaranya dewan komuniti atau dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) sebagai lokasi pemberian suntikan vaksin melibatkan komuniti,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata secara keseluruhan, persiapan bagi pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Melaka berjalan lancar dan pihak terlibat khususnya Jabatan Kesihatan Negeri Melaka dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Melaka telah mengatur pelbagai strategi bagi melancarkan pelaksanaan program berkenaan.

Justeru, rakyat Melaka disaran menerima suntikan berkenaan sebagai langkah pencegahan dan memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 sekali gus dapat menjalani kehidupan normal seperti sebelum ini.

Rahmad berkata rakyat juga diminta mendapatkan maklumat sahih berkaitan vaksin atau program imunisasi berkenaan daripada Kementerian Kesihatan atau Jabatan Kesihatan Negeri Melaka agar kekeliruan dan keraguan mereka terhadap usaha berkenaan terjawab.

Dalam perkembangan lain, Rahmad berkata sebanyak 1,675 Orang Kena Pengawasan (OKP) masih dalam pemantauan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Melaka membabitkan 1,572 OKP lelaki dan 103 OKP wanita, dengan 34 peratus terdiri daripada OKP belia bawah 21 tahun.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 710 OKP dikesan di daerah Alor Gajah diikuti Melaka Tengah (598 orang) dan Jasin (367 orang).

Dalam perkembangan sama, beliau berkata dalam tempoh 1 Januari lepas sehingga semalam, sebanyak 118 individu telah ditahan kerana terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dengan majoriti menyalahgunakan dadah jenis methaphetamine atau syabu.

Katanya kerajaan negeri memandang serius aktiviti penyalahgunaan dadah dan sebanyak 17 program akan dilaksanakan sepanjang Februari ini sempena sambutan Hari Antidadah Kebangsaan ke-38 bagi memupuk kesedaran rakyat mengenai bahaya dadah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

249
Kongsi :
Previous post Mkini Dotcom didenda RM500,000 kerana hina mahkamah
Next post PKPB: peniaga lega boleh makan ikut kapasiti meja di restoran
Ubah saiz-+=