Jualan Agro Madani 2024 mampu capai RM4 juta

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

BANDARAYA MELAKA 24 Februari – Program Jualan Agro Madani (JAM) anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi Negeri Melaka sepanjang tahun ini dijangka mampu mencapai nilai jualan sehingga RM4 juta.

Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong berkata, sasaran itu diyakini mampu dicapai berdasarkan kutipan jualan RM5.96 juta oleh FAMA menerusi program sama sepanjang 2023.

Mengulas lanjut, Chee Leong berkata, FAMA Melaka bercadang untuk menganjurkan sehingga 400 JAM di seluruh negeri ini sepanjang 2024.

“Bagi Januari dan setakat bulan ini sahaja, FAMA sudah anjurkan 61 JAM, nilai jualan direkodkan sepanjang tempoh itu adalah RM1.08 juta.

“Penganjuran JAM membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan asas pada harga 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding pasaran, pada masa yang sama progam ini turut menjana ekonomi usahawan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Jualan Agro Madani@Pasaraya Aeon Mall Bandaraya, di sini, semalam.

Hadir sama pada program itu Pengarah Bahagian Pembangunan Kontrak Pemasaran FAMA, Azhar Jamaludin dan Pengarah FAMA Melaka, Nor Azhar Abdul Hamid.

Beliau berkata, sepanjang 2023 seramai 171,000 pengguna dengan bilangan isi rumah 684,000 orang mendapat manfaat hasil daripada penganjuran JAM seluruh Negeri Melaka.

Jelasnya, selain pasar raya, lokasi penganjuran JAM juga terbahagi kepada kompleks kerajaan, kawasan perumahan berkepadatan tinggi dan outlet peruncitan FAMA.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

717
Kongsi :
Previous post Polis Melaka bersama MAIM pantau kegiatan Mawla Amin
Next post Tujuh pasar tani khas Ramadan seluruh Melaka
Ubah saiz-+=