Tujuh pasar tani khas Ramadan seluruh Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

BANDARAYA MELAKA 24 Februari – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka akan menganjurkan tujuh Pasar Agro Madani Khas pada Ramadan ini, sekali gus memudahkan umat Islam mendapatkan barangan keperluan bagi menyediakan hidangan berbuka puasa dan bersahur.

Pengarah FAMA Melaka, Nor Azhar Abdul Hamid berkata, lokasi penganjuran Pasar Agro Madani Khas Ramadan itu akan membabitkan semua tiga daerah di negeri ini.

Katanya, setiap tapak pasar berkenaan akan membabitkan 15 hingga 30 gerai menawarkan pelbagai barangan keperluan yang mampu memenuhi kehendak umat Islam yang menunaikan ibadah puasa.

“Pasar Agro Madani Khas Ramadan menawarkan barangan keperluan seperti daging, ayam, minyak dan gula. Jadual operasi iaitu tarikh, masa dan lokasi juga sudah kita tetapkan supaya semua perancangan ini berjalan lancar.

“Selain itu kami juga akan anjurkan Jualan Agro Madani menawarkan Kombo Madani mengandungi barangan dapur seperti minyak, tepung dan bihun.

“Bagi jualan kombo kita akan pastikan bekalan akan sentiasa ada bagi menampung permintaan, selain pasar tani pengguna juga boleh mendapatkan barangan keperluan ini di outlet FAMA,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Program Jualan Agro Madani@Pasaraya Aeon Mall Bandaraya, yang disempurnakan Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong, di sini, semalam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1019
Kongsi :
Previous post Jualan Agro Madani 2024 mampu capai RM4 juta
Next post Memancing di Sungai Melaka layak sertai cabutan bertuah TMM2024
Ubah saiz-+=