114 peniaga tawar Menu Rahmah di bazar Ramadan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

JASIN 16 Mac – Seramai 114 peniaga bazar Ramadan di Melaka telah menawarkan Menu Rahmah pada harga RM5 dan ke bawah.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin berkata, jumlah itu membabitkan peniaga daripada lima Bazar Ramadan Rahmah (BRR) seluruh negeri.

Lima bazar terlibat adalah BRR Madani Jasin Bestari, BRR Madani Taman Seri Cempaka, BRR Madani Masjid Al-Alami MITC, BRR Madani Masjid Tanah dan BRR Madani KIP Utama Bachang.

Menurut Allex, inisiatif yang bermula tahun lalu itu diteruskan lagi pada tahun ini bertujuan untuk mengimbangi kesan kenaikan kos sara hidup yang sedang dihadapi di seluruh negara.

“Pelbagai Menu Rahmah ditawarkan di bazar Ramadan ini antaranya laksa penang, nasi lemak berlauk, martabak, nasi kerabu, chicken chop, kebab, aneka jenis kuih, roti john serta banyak lagi pada harga RM5 dan kebawah,” katanya selepas Majlis Pelancaran BRR Madani Jasin Bestari, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalannya Tuminah Kadi @ Mohd Hashim dan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka Norena Jaafar.

Menurut Allex, selain pelancaran BRR, KPDN turut memperluaskan inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) yang menggalakkan pengguna beralih kepada transaksi digital tanpa tunai.

Jelasnya, bagi memperkasa inisiatif itu di bazar Ramadan, KPDN Melaka telah mengagihkan 8,000 baucar e-wallet bernilai RM20 setiap seorang kepada rakyat Melaka di kesemua lima lokasi BRR Madani mengikut tarikh yang ditetapkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2624
Kongsi :
Previous post JKN Melaka ambil sampel ‘sup daging telur lalat’
Next post ‘Beli air untuk kawan..’
Ubah saiz-+=