1,170 anggota tentera Kem Terendak bakal terima vaksin Selasa depan

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

SUNGAI UDANG 24 Feb. – Sebanyak 2,340 dos vaksin COVID-19, Pfizer-BioNTech diterima Hospital Angkatan Tentera (94 HAT) Kem Terendak, Sungai Udang di sini, hari ini.

Vaksin berkenaan dihantar dengan van logistik yang tiba di pekarangan hospital pada jam 12.15 tengah hari tadi dan disambut Pegawai Memerintah 94 HAT, Brigedier Jeneral Muhamed Hatta Manis.

Muhammad Hatta dalam satu kenyataan berkata, 94 HAT adalah satu daripada Pusat Simpanan Vaksin (PSV) di negeri ini yang akan diagihkan kepada 1,170 anggota tentera di kem berkenaan.


VAKSIN diletakkan di tempat simpanan khas ULTF. Foto ihsan ATM

Jelasnya, pengagihan vaksin itu akan membabitkan anggota dari 3 Divisyen, 10 Briged Para dan Grup Gerak Khas pada Selasa depan (2 Mac).

“Vaksin itu dibawa daripada Hospital Melaka menggunakan perkhidmatan van penghantaran dengan diiringi enam kenderaan Polis Diraja Malaysia dan Polis Tentera.

“Ia akan disimpan di Ultra Low Temperature Freezer (ULTF) bagi mengekalkan suhu di bawah negatif 70 darjah celcius,” katanya.

Terdahulu, Melaka menerima bekalan vaksin fasa 1 sebanyak 8,190 dos yang dibawa dari Subang, Selangor menggunakan sebuah van syarikat logistik yang tiba di Hospital Melaka pada jam 11.55 pagi tadi.

Ia sebahagian daripada 11,000 dos vaksin fasa satu yang akan dihantar ke negeri ini dengan bakinya, 2,810 dos lagi dijangka tiba dua hari lagi.

Secara keseluruhan, seramai 660,000 individu berumur 18 tahun dan ke atas akan menerima suntikan vaksin berkenaan yang akan dijalankan secara berperingkat bermula Mac hingga Februari 2022.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1581
Kongsi :
Previous post Resolusi fahaman ‘Ibu Yati’ disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja
Next post Agong zahir pandangan parlimen boleh bersidang semasa darurat
Ubah saiz-+=