13 tahun korban kudrat jaga ibu, dua adik OKU

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

SUNGAI UDANG 31 Julai – Demi kasih dan sayang terhadap ibu yang menghidap angin ahmar dan dua adik orang kurang upaya (OKU), wanita ini sanggup mengabdikan diri menjaga mereka sejak 13 tahun lalu.

Meskipun bukanlah tugas yang mudah, Hasliza Md Saad, 46, sanggup mengorbankan kerjayanya sebagai operator kilang semata-mata untuk memastikan ibu tercinta, Normeh Yamin, 66, dan adiknya, Mohd Hisham, 36, serta Mohd Rashid, 31, mampu menjalani kehidupan dengan baik.

Dia berkata, sebelum ibunya diserang angin ahmar 13 tahun lalu, tugas menjaga Mohd Hisham dan Mohd Rashid yang menghidap polio, masing-masing sejak berusia dua dan tiga tahun, diuruskan ibunya.

“Bagaimanapun, sejak ibu diserang angin ahmar yang menyebabkan ibu tidak mampu bergerak cergas, saya mengambil keputusan berhenti kerja untuk memastikan ibu dan adik mampu meneruskan kehidupan dengan sempurna.

“Saya juga menguruskan ayah, Md Saad Karim, 72, yang sudah uzur dan terpaksa bergerak dengan menggunakan kerusi roda tetapi saya tidak pernah kesal dengan segala ketentuan Allah,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Batu 12, Sungai Udang, Tanjung Kling dekat sini hari ini.

Hasliza Md Saad

Hasliza berkata, abang sulungnya, Allahyarham Mohd Harizam yang turut menghidap polio meninggal dunia akibat demam panas ketika berusia lima tahun.

Katanya, saban waktu dia harus memastikan ibu dan dua adiknya disediakan makanan dan minuman yang baik, sama seperti dia menyediakan makanan untuk bapa dan suami serta anak tunggal berusia 13 tahun.

“Kami hidup dalam keadaan serba sederhana kerana ayah tidak ada pencen selepas berhenti berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia manakala suami bertugas sebagai krew bot membekalkan makanan dan minuman kepada kelasi kapal,” katanya.

Berikutan keadaan ibu dan dua adiknya yang memerlukan perhatian penuh, dia dan suami serta anak tidak mampu bergerak jauh dari kediaman.

Namun demikian Hasliza berkata, dia bersyukur kerana berjaya membawa bapanya mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sungai Udang Rabu lalu walaupun terpaksa meninggalkan ibu dan adik dengan dijaga sementara anaknya.

Bagaimanapun, dia tidak mampu membawa ibu dan dua adiknya ke PPV berkenaan dan memerlukan pegawai Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah meneliti masalah itu.

Sehubungan itu, dia amat berharap PKD berkenaan mampu menyediakan perkhidmatan pemberian vaksin kepada ibu dan kedua-dua adiknya di kediamannya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1069
Kongsi :
Previous post Bantuan ceriakan nelayan OKU
Next post Agong, Permaisuri zahir ucapan Hari Pahlawan kepada ATM, PDRM
Ubah saiz-+=