Bantuan ceriakan nelayan OKU

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

PANTAI KUNDOR 30 Julai – Dua minggu tidak dapat turun ke laut akibat enjin motor sangkut rosak amat merunsingkan seorang nelayan orang kurang upaya (OKU) di Pantai Puteri, di sini.

Bagaimanapun, kemurungannya akibat kerosakan enjin motor sangkut 40 kuasa kuda sejak dua minggu lalu, hari ini ditamatkan dengan berita gembira.

Mohd Said Baba, 53, yang pekak dan bisu mempamerkan senyuman selepas dimaklumkan sendiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan, kerosakan itu akan segera diatasi melalui kerja menggantikan kotak gear yang memerlukan kos RM2,500.

Dengan menggunakan bahasa isyarat, Mohd Said berkata, dia tidak mampu turun ke laut sejak dua minggu lalu berikutan kerosakan berkenaan.

Katanya, enjin yang digunakan sejak lima tahun lalu itu sering mengalami kerosakan sejak tiga bulan lalu dan kali ini, kerosakan paling serius berlaku pada kotak gear.

Dia berkata demikian ketika menerima kunjungan Nor Azman bagi meneliti kerosakan itu di Pangkalan Nelayan Kampung Pantai Rombang, Pantai Puteri Tanjung Kling, dekat sini hari ini.

Katanya, berikutan kerosakan itu dia semakin buntu memikirkan kelangsungan hidup dia dan isteri serta dua anak berusia 12 dan 15 tahun.

Isterinya, Lisnawati Saiful Bahri, 46, sudah berhenti kerja sebagai pembersih bangunan di pejabat kerajaan sejak pandemik COVID-19 melanda negara Mac 2020.

Awak-awak, Mohd Arif Bugal, 60, berkata enjin berkenaan rosak pada bahagian kipas dua bulan lalu dan kerja pembaikan membabitkan kos kira-kira RM600.

“Tanpa enjin yang dalam keadaan baik, kami bimbang untuk pergi jauh ke tengah laut untuk menjaring atau merawai kerana jika enjin rosak, keadaan akan menjadi amat bahaya bagi kami,” katanya.

Nor Azman berkata, dia sudah meminta mekanik segera membaiki enjin itu dan kos berkenaan dibiayainya.

“Mohd Said adalah antara nelayan di pangkalan ini yang rajin turun ke laut dan dia tidak suka membuang masa di darat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

776
Kongsi :
Previous post Sesi akademi secara dalam talian program asasi, diploma mula Ogos
Next post 13 tahun korban kudrat jaga ibu, dua adik OKU
Ubah saiz-+=