
14,789 PETAK PARKIR MBMB PERCUMA SETIAP ISNIN, SELASA
AYER KEROH 7 Oktober – Sebanyak 14,789 petak parkir di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) disediakan secara percuma setiap Isnin dan Selasa bagi memudahkan urusan orang ramai.
Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata, inisiatif parkir percuma itu dapat mengurangkan beban kos kepada pengguna, khususnya penduduk yang menggunakan kemudahan berkenaan secara kerap.
Menurutnya, langkah itu juga dapat menggalakkan pengunjung berkunjung dan menjalankan urusan di kawasan terlibat, khususnya lokasi pelancongan.
“Bagi peniaga, inisiatif ini berpotensi meningkatkan kunjungan pelanggan dan aktiviti perniagaan, sekali gus menyokong ekonomi setempat.
“Bagaimanapun, berdasarkan pengiraan MBMB, implikasi kewangan bagi pelaksanaan ini dianggarkan sebanyak RM147,860 seminggu atau RM591,440 sebulan,” katanya.
“Anggaran itu berdasarkan kadar bayaran parkir RM0.60 sejam dengan kadar maksimum RM5 sehari, jika kesemua petak parkir digunakan pada kadar maksimum,” katanya.
Dalam pada itu, Shadan berkata jumlah peniaga berlesen di kawasan pentadbiran MBMB kini meningkat kepada 5,090 berbanding 4,832 pada 2024, iaitu pertambahan sebanyak 258 pelesen.
“Peningkatan jumlah pelesen ini menunjukkan perkembangan positif dari segi penyertaan peniaga dalam menjalankan aktiviti perniagaan di kawasan pentadbiran MBMB,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


