15 daripada tiga keluarga lega terima bantuan

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

TANJUNG BIDARA 28 Julai – Seramai 15 orang daripada tiga keluarga berjiran lega dan bersyukur menerima sumbangan bakul makanan, hari ini.

Bantuan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin itu disifatkan sebagai penyambung kehidupan yang semakin membebankan akibat tidak dapat bekerja sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan sejak 1 Jun lalu hingga sekarang.

Seorang penerima, Nazrin Kiran, 47, berkata, dia kehilangan punca pendapatan bagi menyara isteri dan empat anak selepas kilang perabot tempatnya bekerja memberi cuti mulai tarikh itu.

“Setiap hari saya terpaksa menggunakan wang simpanan untuk membiayai perbelanjaan keluarga dan ia ibarat menarah bukit yang semakin hari semakin menyusut.

“Allah memperkenankan doa kami sekeluarga agar ada pihak sudi menghulurkan bantuan dan kami bersyukur kepada Allah serta berterima kasih kepada Mas Ermieyati,” katanya ketika ditemui menerima Bantuan Bakul Makanan di kediamannya di Kampung Bukit Tinggi, di sini hari ini.

Sumbangan itu disampaikan seorang lelaki yang membantu menguruskan pengambilan bahan makanan itu dari Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Masjid Tanah untuk diagihkan kepada ketiga-tiga keluarga terbabit.

Ayub Baba, 53, berkata sumbangan itu meringankan bebannya menyediakan bahan makanan untuk tiga anaknya yang masih belum bekerja.

“Saya sendiri hanya bergantung kepada komisen menjual gas memasak yang tidak seberapa dan sejak PKP 3.0 dikuatkuasakan, saya tidak mampu membuat kerja sampingan membantu pengusaha sambal kerana perusahaan itu dihentikan sementara,” katanya.

Noorhidayu Zainudin, 33, berkata PKP 3.0 menyebabkan tugasnya sebagai pembancuh minuman di warung kopi tidak dapat diteruskan.

Katanya, ramai orang terkesan dengan COVID-19, termasuk keluarganya yang menyebabkan mereka terpaksa berjimat-cermat bagi mengelakkan terputus bekalan makanan.

“Alhamdulillah, Bantuan Bakul Makanan membantu kami meneruskan kehidupan yang semakin sukar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

483
Kongsi :
Previous post Doktrin palsu agama Islam: Ibu Yati, dua individu mengaku tidak bersalah
Next post Hidilyn pendorong Melaka wujud pusat pelancongan sukan
Ubah saiz-+=