Hidilyn pendorong Melaka wujud pusat pelancongan sukan

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

KESANG 28 Julai – Kejayaan jaguh angkat berat Filipina, Hidilyn Diaz merangkul emas dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 menjadi pendorong Melaka dalam usaha memajukan Bemban sebagai pusat pelancongan sukan terkenal.

Perkara itu diakui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai merangkap Penyelaras DUN Bemban, Datuk Hasan Abd Rahman.

Menurutnya,  ia susulan rasa terharu dan bangga menyaksikan sebuah rumah di Kampung Kesang Tua, Jasin itu menjadi tempat latihan buat seorang jaguh angkat berat bertaraf dunia.

Bagi menjayakan hasrat itu, ujar beliau, pihaknya akan mengenal pasti beberapa lokasi yang sesuai sebagai pusat kemudahan aktiviti sukan termasuk sukan angkat berat di Bemban.

“Hari ini tersingkap sebuah rahsia di mana Bemban pun mempunyai keistimewaannya yang tersendiri di Kampung Kesang Tua ini. Sebelum ini ramai masyarakat tak tahu maka kita akan lakukan sesuatu untuk Bemban menjadi sebuah destinasi yang terkemuka selepas ini.

“Mungkin kerajaan negeri boleh menimbangkan lokasi atau tempat atau tanah bagi kita memperhebatkan infrastruktur sukan angkat berat di Melaka yang bertapak di Bemban”, katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi kunjungan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam ke kediaman milik keluarga angkat Hidilyn di Kampung Kesang Tua, di sini hari ini.

Isnin lalu Hidilyn mencuri tumpuan peminat sukan Malaysia kerana melakukan persiapan Olimpik di Jasin, Melaka sekaligus mencipta sejarah buat Filipina apabila menjadi atlet pertama meraih pingat emas Olimpik buat negara itu menerusi acara wanita 55 kilogram (kg).

Hidilyn melakukan angkatan terakhir 127 kg sekali gus menafikan pemegang rekod dunia dan juga bekas pemenang pingat emas Olimpik Rio 2016 dari China, Liao Qiuyun.

Bintang angkat berat kelahiran Zamboanga, Filipina itu berlatih dan ‘berkampung’ di Melaka sejak 16 September tahun lalu, apabila terkandas di Malaysia sejak Januari tahun lalu, berikutan pandemik COVID-19.

 

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

514
Kongsi :
Previous post 15 daripada tiga keluarga lega terima bantuan
Next post ‘Vaksinasi secara ‘walk-in’ hanya bawa kad pengenalan saja’
Ubah saiz-+=