150 Tabika Pra Tahfiz KEMAS di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

BANDA HILIR 8 Julai – Sebanyak 150 Tabika Pra Tahfiz di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) disasarkan akan beroperasi di Melaka.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, buat masa ini pembukaan tabika yang memberi fokus kepada pendidikan agama Islam itu masih di peringkat permulaan di negeri ini.

Namun, beliau menjangkakan tabika berkenaan akan beroperasi dalam skala penuh menjelang tahun hadapan.

“Buat masa ini, kita dalam fasa melatih guru-guru untuk mengajar anak-anak Pendidikan Islam yang memberi penekanan khusus terhadap dua aspek iaitu pembelajaran ibadah dan pengajian Al-Quran di tabika ini nanti.

“Tabika Pra Tahfiz KEMAS ini dibuka kepada sesiapa sahaja tidak mengira latar belakang keluarga kerana matlamat utamanya adalah untuk memberi pendedahan agama sejak kecil kepada anak-anak.

“Kita menyasarkan sebanyak 150 Tabika KEMAS Pra Tahfiz akan beroperasi di Negeri Melaka, di mana kita akan bergerak secara ‘full swing’ menjelang tahun depan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Festival Kesenian Islam (FKI) Anjuran KEMAS Negeri Melaka Tahun 2024 di perkarangan Menara Taming Sari, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) KEMAS Malaysia Zairuddin Mat Zuini; Pengarah KEMAS Negeri Melaka Asri Saleh; Ketua Pegawai Eksekutif Menara Taming Sari Berhad Nasrul Ahmad dan lain-lain kenamaan.

Sebelum ini, Melaka Hari Ini melaporkan terdapat tiga buah Tabika Pra Tahfiz KEMAS bagi projek rintis di Melaka iaitu Tabika KEMAS Kampung Gadek Alor Gajah, Tabika KEMAS Pengkalan Renggam Hang Tuah Jaya dan Tabika KEMAS Merlimau Barat 3 Jasin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1335
Kongsi :
Previous post Singkap misteri Bukit Senjuang
Next post Wanita jatuh gaung selamat dibawa keluar
Ubah saiz-+=