Singkap misteri Bukit Senjuang

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

Oleh: Muhammad Rasul Azli Samad

BANDA HILIR 8 Julai – Bukit Senjuang atau nama asalnya Bukit Pipi menjadi antara lokasi bersejarah yang menjadi tarikan pelancong dan pengunjung yang datang ke Negeri Melaka.

Di atas puncak bukit, terdapat sebuah kota yang dibina daripada batu laterit dan batu-bata ketika era pemerintahan Belanda pada 1760 dan dinamakan Kota St. John.

Menurut catatan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), kota itu dianggarkan setinggi 10 hingga 12 kaki di mana bahagian dalamnya pula dibina secara bertingkat dengan ketinggian tiga kaki.

Uniknya, kota yang dibina di atas bukit ini mempunyai pemandangan jelas bahagian selatan Selat Melaka, di mana ia dikatakan dibina bagi mengelak serangan orang Aceh dan Bugis dari arah sekatan.

Beberapa meriam juga turut ditempatkan di sekeliling kota menghadap ke darat dan laut bagi melindungi kubu pertahanan ini.

Photo1719562372 (1)
MERIAM yang dibina menghadap selatan Selat Melaka. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Tidak hairanlah, pembinaan kota pertahanan di puncak bukit ini dikatakan langkah bijak oleh tentera Belanda apabila ia dikatakan berjaya menangkis beberapa siri serangan sehinggalah pada tahun 1824 apabila Belanda menyerahkan Melaka kepada pihak Inggeris.

Kemudian, kita zaman pemerintahan Inggeris, kota ini tidak lagi digunakan.

Mengikut cerita orang-orang lama, bukit ini dikatakan menyimpan pelbagai misteri, antaranya, didakwa terdapat sebuah terowong yang boleh menghubungkan Kota St. John ke Bukit St. Paul atau kini dikenali sebagai Bukit Melaka.

Malah, ada yang mendakwa terdapat seekor anjing telah terjatuh ke dalam terowong dan suaranya kedengaran mulai sayup sebelum lenyap begitu sahaja.

Bagi mendapatkan kepastian, pakar arkeologi telah melakukan kerja-kerja penggalian pada tahun 1982 di bahagian tengah dan sisi tembok kota untuk mengesan kewujudan terowong tersebut.

Namun, hasil penggalian tidak menemui sebarang kesan terowong, sebaliknya hanya beberapa tanah laterit yang padat.

Photo1719562372 (2)
MENJADI antara lokasi bersejarah yang menggamit kehadiran pelancong. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Pada tahun 2021, Kota St John telah dibaik pulih dan dinaik taraf di bawah peruntukan projek di bawah Pemerkasaan Sektor Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan dan kini ia menjadi antara salah satu tapak warisan yang ada di Negeri Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5901
Kongsi :
Previous post Artifak Melaka di Belanda akan dipamerkan di muzium
Next post 150 Tabika Pra Tahfiz KEMAS di Melaka
Ubah saiz-+=