15,000 dijangka meriahkan pelancaran TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

BANDARAYA MELAKA 16 Disember – Dianggarkan 15,000 pengunjung dan rakyat Negeri Melaka bakal memeriahkan pelancaran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dan Ambang Tahun Baharu 2024, 31 Disember ini.

Sambutan yang diadakan di Pejabat Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) di Dataran Pengkalan Rama itu bakal berlangsung penuh gilang-gemilang dengan pelbagai persembahan dan pertunjukan menarik menandakan masuknya tahun penting bagi industri pelancongan Negeri Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, antara acara menarik akan dibawakan pada malam penuh berprestij itu adalah pertunjukan belon udara panas, persembahan kebudayaan, selain nyanyian artis tersohor tanah air seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Anuar Zain dan ramai lagi.

Tambah beliau, pelancaran TMM2024 itu bakal disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Untuk malam pelancaran itu nanti, kita tidak mengehadkan pengunjung yang hadir memandangkan sambutan ini akan bersiaran lebih meluas yang dipancarkan menerusi paparan LED yang akan dipasang di beberapa kawasan.

“Jadi, datanglah beramai-ramai pada malam itu nanti kerana tempat duduk yang menarik juga disediakan kepada pengunjung berdasarkan ‘first come, first serve’.

“Untuk maklumat lanjut mengenai sambutan pelancaran TMM2024 dan acara yang disediakan bolehlah melayari portal dan laman sosial Melaka Hari Ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan Walkabout di Sungai Melaka, hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman; Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Datuk TPr. Murad Husin; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Sa’ari Basiron dan lain-lain kenamaan.

Img 20231216 202600 663
BANDARAYA MELAKA 16 Disember – Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ketika membuat tinjauan di Sungai Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Pada sesi ‘walkabout’ itu, Ketua Menteri turut meninjau persiapan tempat sempena sambutan itu yang berlangsung di Dataran Pengkalan Rama.

Jelas Ab Rauf, setakat ini, persiapan bagi acara itu telah mencapai 50 peratus dan dijangka menjangkau 90 peratus menjelang minggu hadapan.

Selain memberi fokus terhadap sambutan itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri turut mengambil kira aspek penyuraian trafik untuk orang ramai yang hadir.

“Kita telah bekerjasama dengan pihak keselamatan lebih sebulan yang lalu untuk penyuraian trafik, jadi saya yakin pada malam tersebut keadaan lalu lintas akan lebih baik dengan kawalan petugas keselamatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2440
Kongsi :
Previous post KPDN Melaka terima 390 aduan berkaitan kepenggunaan
Next post TMM2024 perkukuh hubungan Melaka-China
Ubah saiz-+=