KPDN Melaka terima 390 aduan berkaitan kepenggunaan

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

MELAKA, 16 Dis – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka menerima kira-kira 390 aduan daripada orang ramai membabitkan pelbagai kes berkaitan kepenggunaan dalam tempoh Januari hingga awal Disember ini.

Pengarah KPDN negeri Norena Jaafar berkata antara aduan yang diterima membabitkan transaksi dalam talian iaitu tidak menerima barang atau perkhidmatan serta barang atau perkhidmatan diterima tidak seperti ditawarkan termasuk pakej umrah.

“Sepanjang tempoh tahun ini, pihak kita telah menerima 25 aduan pakej ibadah umrah membabitkan kes seperti tertipu dengan promosi ditawarkan, terdapat kos tambahan dan caj tersembunyi, penginapan disediakan tidak seperti diiklan selain gagal menunaikan ibadah umrah akibat ditipu.

“Justeru kita berharap orang ramai lebih berhati-hati dengan tawaran pakej umrah ini dan sekiranya mereka tidak mendapat perkhidmatan seperti yang dijanjikan, orang ramai disaran membuat aduan kepada tribunal pengguna,” katanya kepada pemberita di Ayer Keroh di sini hari ini.

Terdahulu beliau hadir pada majlis penyampaian hadiah Program Fit Pengguna Treasure Hunt sempena Sambutan Hari Sukan Negara 2023 yang dirasmikan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin dan turut dihadiri Timbalannya Tuminah Kadi @ Mohd Hashim dan Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Ponromo.

Mengulas lanjut Norena berkata aduan lain diterima KPDN Melaka membabitkan kes menyorok bekalan barangan kawalan termasuk gula dan minyak, harga barangan mahal, harga mengelirukan, tiada tanda harga dan sebagainya.

Katanya daripada jumlah keseluruhan aduan kes itu, pihaknya berjaya menyelesaikan sebanyak 93 peratus termasuk tindakan membawa individu melanggar peraturan ke mahkamah antaranya membabitkan kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“KPDN Melaka menyarankan pengguna untuk melaporkan sebarang aduan berkaitan masalah kepenggunaan agar pihak kita dapat menyemak dan memeriksa untuk diambil tindakan,” katanya.

Program Fit Pengguna Treasure Hunt disertai 123 peserta membabitkan 41 pasukan terdiri daripada orang awam bagi menguji kefahaman mereka mengenai kesedaran kepenggunaan. — BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1330
Kongsi :
Previous post ‘Sunat laser’ percuma Duyong meriah, tonjol semangat muhibah
Next post 15,000 dijangka meriahkan pelancaran TMM2024
Ubah saiz-+=