16 cedera bas ekspres langgar belakang treler

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

JASIN 27 November – Seramai 16 penumpang sebuah bas ekspres cedera dalam kemalangan di Kilometer 179.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di Jasin, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 pagi itu, bas ekpres yang membawa 27 penumpang itu dipercayai melanggar belakang sebuah treler yang membawa barangan kitar semula.

Menurut Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Azman Md Dawam berkata, sebaik menerima panggilan, seramai 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin Bestari dan BBP Tangkak digerakkan ke lokasi.

“Setibanya di lokasi didapati benar berlaku kemalangan melibatkan bas ekspres yang melanggar belakang sebuah lori treler membawa barang kitar semula.

“Terdapat 27 penumpang di dalam bas berkenaan dan 16 daripadanya mengalami kecederaan termasuk warga Singapura.

“Mangsa telah diberi rawatan awal oleh tiga ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), satu ambulans Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dan dua ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau memaklumkan operasi tamat pada jam 5.20 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin DSP Mispani Hamdan berkata kesemua penumpang terlibat adalah warga Singapura dan bas tersebut dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

Beliau berkata bas ekspres dipandu lelaki berusia 42 tahun itu dipercayai hilang kawalan dan melanggar belakang treler berkenaan di lorong paling kiri.

Katanya kemalangan itu sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3615
Kongsi :
Previous post Lelaki samun warga asing ditahan
Next post Ribut petir, hujan dijangka berlaku tiga hari di seluruh negara – MetMalaysia
Ubah saiz-+=