18 sektor pembuatan dan MRS dibenarkan beroperasi semasa PKP- MITI

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

KUALA LUMPUR 30 Mei – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengumumkan 18 sektor pembuatan dan perkhidmatannya yang berkaitan (MRS) yang dibenarkan untuk beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula 1 hingga 14 Jun ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, MITI berkata sektor-sektor yang dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 60 peratus pekerja adalah aeroangkasa (komponen serta penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih – MRO); makanan dan minuman; bahan pembungkusan dan percetakan serta barang-barang penjagaan diri dan bahan pencuci.

Selain itu, keluaran penjagaan kesihatan dan perubatan termasuk penokok diet; peralatan perlindungan diri (PPE) termasuk sarung tangan getah dan peralatan keselamatan kebakaran; komponen bagi peranti perubatan; elektrikal dan elektronik serta minyak dan gas termasuk petrokimia dan produk petrokimia juga mendapat kebenaran yang sama.

Turut dibenarkan adalah produk kimia; mesin dan peralatan; tekstil untuk pengeluaran PPE sahaja; serta pengeluaran, penyulingan, penyimpanan, pembekalan dan pengagihan bahan api dan pelincir.

Manakala lima lagi sektor dibenarkan beroperasi di bawah siap siaga dengan 10 peratus pekerja iaitu automotif (kenderaan dan komponen); besi dan keluli, simen; gelas serta seramik.

Menurut kementerian, sektor-sektor berkenaan dibenarkan beroperasi dengan syarat mendapat surat kelulusan MITI yang boleh dimuat turun daripada portal COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0.

Syarikat pembuatan yang sedia ada berdaftar dengan CIMS 3.0 boleh memuat turun surat kelulusan MITI yang baharu dan mengemas kini senarai pekerja mereka sekiranya perlu, berkuat kuasa 8 malam ini (Ahad, 30 Mei).

Katanya, syarikat pembuatan yang masih belum mendaftar, boleh berbuat demikian bermula 1 tengah hari pada Isnin, 31 Mei.

“Sektor pembuatan dan MRS yang dibenarkan beroperasi akan memastikan gangguan minima kepada rantaian bekalan komponen dan produk siap kritikal.

“Ini adalah penting bagi menjamin kelangsungan operasi infrastruktur kritikal seperti keselamatan, kesihatan awam dan sistem informasi dan telekomunikasi serta memastikan bekalan keperluan asas mencukupi untuk rakyat,” katanya.

Selain itu, MITI berkata pekerja dalam sektor pembuatan dan MRS memerlukan surat kelulusan kementerian itu, surat pengesahan lantikan daripada majikan atau kad pekerja untuk pergerakan ke tempat kerja.

“Mereka yang dibenarkan beroperasi wajib memastikan pematuhan ketat ke atas prosedur operasi standard (SOP) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan MITI.

“Kegagalan mematuhi SOP adalah satu kesalahan dan boleh mengakibatkan kompaun dan/atau penutupan premis,” katanya.

Bagi memastikan pematuhan SOP yang berkesan, langkah penguatkuasaan yang komprehensif dan ketat akan dilakukan oleh agensi penguatkuasaan persekutuan dan negeri.

Sementara itu, bagi sektor selain pembuatan dan MRS, MITI berkata, syarikat diminta merujuk kepada kementerian yang mengawal selia sektor masing-masing atau MKN.

“Perlu ditegaskan bahawa MITI hanya boleh memberi kelulusan beroperasi kepada sektor perkilangan dan MRS,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

435
Kongsi :
Previous post PM Muhyiddin ucap takziah pemergian Mufti Perak
Next post Varian kacukan di Vietnam belum dikesan di Malaysia
Ubah saiz-+=