1MDB: Fokus siasatan SPRM kenal pasti dan pemulangan dana terkait

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

PUTRAJAYA, 3 Mac – Fokus siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) SPRM dalam kes berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang melibatkan suami bekas Gabenor Bank Negara adalah untuk mengenal pasti serta mendapatkan semula dana terkait dengan kes 1MDB.

SPRM dalam satu kenyataan hari ini berkata pendedahan Pengerusi Goldman Sachs Group Inc Asia Tenggara Tim Leissner di Mahkamah Amerika Syarikat dalam kes berkaitan dana 1MDB yang melibatkan Datuk Dr Tawfiq Ayman, bukan sesuatu yang baharu.

SPRM berkata bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas pada hujung 2018 telah menyelaraskan koordinasi siasatan antara SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dengan kes melibatkan Tawfiq itu.

Menerusi koordinasi itu, fokus SPRM adalah untuk mengenal pasti serta mendapatkan semula dana terkait dengan kes 1MDB termasuk sejumlah USD15.4 juta, yang melibatkan akaun Cutting Edge Industries Ltd milik Tawfiq.

“SPRM telah mengeluarkan kenyataan media mengesahkan pemulangan tersebut,” kata suruhanjaya itu, menjelaskan bidang siasatannya dalam kes berkenaan.

Menerusi koordinasi berkenaan Pejabat Peguam Negara telah mengarahkan PDRM untuk menumpukan kepada aspek kesalahan jenayah berhubung penerimaan wang itu ke dalam akaun milik Tawfiq di Singapura, dan siasatan masih berjalan sehingga kini, kata SPRM.

Menurutnya penyelarasan itu untuk mengelak pertindihan dalam siasatan melibatkan pengumpulan bukti-bukti dan keterangan mereka yang terlibat, serta sebagai kemudahan untuk berurusan dengan pihak Singapura yang memberi keutamaan kepada satu agensi penguat kuasa yang menjalankan siasatan kesalahan jenayah.

“Sehubungan itu, tidak timbul isu kegagalan mana-mana agensi penguat kuasa untuk mengesan, menyiasat dan mendakwa apa-apa kesalahan dalam transaksi kewangan berkenaan seperti yang dibangkitkan oleh segelintir pihak,” kata SPRM.

Pada Selasa lepas (1 Mac), Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata Tawfiq kini disiasat oleh PDRM dan SPRM hanya diberi tanggungjawab untuk mendapatkan semula dana 1MDB dari Singapura.

Media melaporkan Leissner semasa prosiding perbicaraan yang dikaitkan dengan 1MDB di New York mendakwa suami bekas Gabenor Bank Negara menerima rasuah. Namun, Tawfiq dalam kenyataan melalui firma guaman Tetuan Jagjit, Ariff & Co menegaskan beliau tidak pernah menerima rasuah sepanjang hidup malah tidak mengenali Leissner.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1257
Kongsi :
Previous post Permohonan ikat jamin remaja didakwa bunuh bayi diputuskan 8 Mac
Next post PRN Johor : Maszlee nafi calon MB
Ubah saiz-+=