2 JAM JELAJAH DUYONG, TOK RAUF SELAMI DENYUT NADI RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

DUYONG 2 Ogos – Lebih dua jam bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bukan sekadar menyempurnakan agenda Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat, sebaliknya turun melihat sendiri wajah, mendengar suara dan menyelami denyut kehidupan rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong.

Ab Rauf berkata, perjalanan jelajah itu yang meliputi beberapa lokasi memberi gambaran sebenar mengenai kehidupan masyarakat setempat, daripada usaha memperkukuh keharmonian, menyantuni golongan memerlukan hinggalah memberi perhatian kepada anak-anak istimewa.

“Mengapa saya menyusun perjalanan sebegini? Kerana inilah wajah pentadbiran yang sedang kita bina di Melaka, sebuah pentadbiran yang bukan sahaja melihat angka dan laporan, tetapi melihat wajah rakyat, mendengar suara mereka dan memahami denyut kehidupan sebenar di lapangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Duyong di Madrasah Helyatil Auliya Addiniah Al-Arabiyah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; barisan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, setiap persinggahan sepanjang jelajah membawa cerita dan makna tersendiri yang memperlihatkan keperluan berbeza dalam kalangan masyarakat.

“Sepanjang perjalanan ini, setiap persinggahan membawa cerita dan makna yang tersendiri. Di Japerun Duyong, kita memperkukuh keharmonian. Di Kampung Semabok Dalam, kita menyantuni mereka yang memerlukan.

“Di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti DUYONGkita, kita meraikan keistimewaan setiap insan dan di madrasah ini, kita berhimpun sebagai satu keluarga besar Melaka,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Rauf turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang disifatkannya sebagai wakil rakyat yang bekerja keras memastikan kebajikan warga DUN Duyong terus disantuni.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

449
Kongsi :
Previous post MELAKA BELANJA LEBIH RM250,000 SEDIA KEMUDAHAN TERAPI OKU
Next post RM150,000 SENTUH HATI RAKYAT DUYONG