Sorting by

×

20 ANAK B40 MELAKA MELAKA BAKAL GENGGAM SAYAP PENERBANGAN

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

AYER KEROH 23 April – Anak Melaka cemerlang dalam akademik berasal daripada keluarga B40 yang bertuah berpeluang mengikuti latihan sebagai kadet juruterbang, seterusnya menggenggam sayap penerbangan.

Mengumumkan khabar gembira itu Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, seramai 20 anak Melaka daripada keluarga B40 yang layak akan dipilih dan ditaja oleh International Aero Training Academy (IATAC) untuk mengikuti latihan penerbangan di akademi berkenaan menerusi kursus mengambil masa selama tiga tahun.

Mengulas lanjut Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, inisiatif itu adalah menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan IATAC dengan nilai pelaburan masa hadapan bernilai hampir RM10 juta.

“Bagi saya, ini bukan sekadar satu inisiatif…Ini adalah jambatan harapan, sayap impian juga titik permulaan buat anak-anak Melaka.

“Bayangkan daripada keluarga sederhana, kini berpeluang menawan langit sebagai juruterbang profesional. Terima kasih dan syabas IATAC kerana sama-sama membantu mengangkat masa depan generasi Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-20 IATAC & Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di IATAC Taman Merdeka, Batu Berendam, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Penasihat Undang-Undang Negeri Datuk Khairul Azreem Mamat; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Datuk Kapten Norazman Mahmud.

Yang turut hadir Komander Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noor Sham Md Jani dan Ketua Pegawai Eksekutif IATAC Kapten Kenneth Yap.

Pada majlis sama Ketua Menteri turut menyaksikan penyerahan sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR), sebagai ‘First Solar Powered Flight Training Academy in Malaysia daripada wakil MBOR kepada IATAC.

Ab Rauf berkata, sepanjang tempoh dua dekad bertapak di bumi Melaka, IATAC telah melahirkan lebih 1,200 juruterbang, dengan purata sekitar 60 hingga 70 orang graduan bagi setiap tahun.

Menurutnya, lebih membanggakan, kejayaan IATAC turut diperkukuh dengan kadar kebolehpasaran graduan mencecah 70 peratus merangkumi penempatan dalam industri penerbangan sama ada tempatan atau luar negara melibatkan syarikat penerbangan Malaysia Airlines, AirAsia, Batik Air, Emirates dan Qatar Airways.

“Ini membutikan bahawa bakat tempatan graduan IATAC mampu bersaing di pentas global, sekali gus memperkukuh rantaian nilai industri negeri serta mengangkat martabat Melaka sebagai hab pembangunan bakat penerbangan di peringkat nasional,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

481
Kongsi :
Previous post VETERAN ATM HILANG PENGLIHATAN TERIMA RUMAH BAHARU
Next post TVET PILIHAN UTAMA BINA MASA HADAPAN