20 minit tarik lembu 180kg jatuh longkang

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

ALOR GAJAH 9 April – Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Alor Gajah memerah kudrat selama 20 minit bagi menyelamatkan seekor lembu jantan yang terjatuh ke dalam longkang di Kampung Mentangor, Sungai Petai di sini, lewat petang semalam.

Lembu seberat 180 kilogram (kg) itu dikatakan terjatuh sendiri dan tersepit di dalam longkang sedalam lebih tiga meter ketika melalui kawasan tersebut.

Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Daerah Pertahanan Awam Daerah (PDPA) Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 4.40 petang sebelum tiba 5.15 petang bagi mengeluarkan haiwan berkenaan.

Menurutnya, sepasukan tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian dan mengambil masa 20 minit untuk menarik keluar lembu itu.

“Teknik digunakan adalah dengan memasukkan tali di celah kaki dan bawah perut lembu tanpa diikat bagi mengelakkan ia menggelupur ketika ditarik,” katanya.

Katanya, misi menyelamatkan lembu tersebut selesai dengan jayanya tanpa berlaku sebarang insiden tidak diingini

Sementara itu, kehilangan lembu berkenaan disedari pemiliknya, Afifudin Zakaria, 29, sekitar jam 4.30 petang sebelum menghubungi APM Alor Gajah untuk meminta bantuan mengeluarkan haiwan berkenaan.

Menurut Afifudin, dia terpaksa meminta bantuan APM kerana lembu berkenaan terjatuh di dalam longkang yang sempit dan dalam.

Dia yang memelihara 42 ekor lembu sejak 2013 berkata, insiden lewat petang semalam bukan kali pertama kali berlaku.

“Ini bukan kali pertama malah seingat saya lebih enam kali lembu terjatuh di dalam longkang ketika dilepaskan untuk meragut rumput.

“Saya juga pernah selamatkan sendiri lembu yang terjatuh di dalam longkang sebelum ini, tapi kali ini agak sukar kerana struktur longkangnya agak sempit dan dalam,” katanya.

Menurutnya, dia menyedari kehilangan lembu jantan berusia dua tahun lebih itu ketika menghalau ternakannya ke kandang.

“Saya melepaskan ternakan sekitar jam 11 pagi di kawasan lapang berhampiran sebuah kilang.

“Sebelum ini saya biasa lepaskan lembu di kawasan ladang kelapa sawit berdekatan kampung, namun pemiliknya baru meracun dan saya tiada pilihan.

“Ketika mencarinya, saya terdengar lembu itu mengeboh dan mendapati ia terjatuh di dalam longkang itu sebelum menghubungi APM,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2115
Kongsi :
Previous post JAKIM tidak boleh keluar kenyataan keputusan Jawatankuasa Muzakarah MKI
Next post Baju raya percuma untuk semua
Ubah saiz-+=