Baju raya percuma untuk semua

KLEBANG 9 April – Butik Rakyat 3.0 Keluarga Malaysia yang berkonsepkan pemberian pakaian raya secara percuma menyasarkan sehingga 25,000 pengunjung pada tahun ini.

Pengerusinya, Ashwad Abd Rahim, 30 berkata butik rakyat yang memasuki tahun ketiga penganjuran itu menawarkan pakaian terpakai kepada semua golongan tanpa mengira usia.

Katanya, sasaran lebih ramai pengunjung ditetapkan selepas mengambil kira negara memasuki fasa endamik dan selepas dua tahun tidak menyambut hari raya ekoran pandemik COVID-19.

“Jadi tahun ini kita tambah stok pakaian kerana kita tahu semua orang akan menyambut Aidilfitri selepas dua tahun tidak dapat menyambutnya secara besaran.

“Tahun ini kita membenarkan setiap pengunjung untuk mengambil tiga helai pakaian berbanding tahun lalu hanya dua pasang sahaja dibenarkan.

“Memasuki fasa endamik ini, kita lihat butik ini semakin hari semakin ramai yang berkunjung dan kita alu-alukan golongan rentan yang memerlukan kerana pakaian-pakaian yang diberi ini semua masih cantik dan tidak lusuh,” katanya dalam sidang media Butik Raya 3.0 Keluarga Malaysia yang diadakan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RUTC) Klebang.

KLEBANG 9 April 2022. Pengunjung memilih pakaian yang diberikan secara percuma sempena Majlis Pelancaran Butik Rakyat Keluarga Malaysia 3.0 di RUTC, Klebang. Foto Iqmal Haqim Rosman

Mengulas lanjut, Ashwad berkata butik rakyat itu turut menambah bilangan kasut terpakai pelbagai saiz sebanyak 1,500 pasang buat pengunjung.

Selain itu ujarnya, pihaknya turut akan memberikan sekampit beras seberat lima kilogram kepada pengunjung yang datang.

“Objektif butik ini jelas, kita buat butik ini untuk memberikan kelengkapan menjelang Aidilfitri kepada golongan kurang berkemampuan untuk sama-sama dapat merasa hari raya.

“Kelainan tahun ini juga kita bawakan Medic Clinic setiap Sabtu dan Ahad pada masa sepanjang butik beroperasi, buat pengunjung atau penduduk untuk membuat pemeriksaan kesihatan yang juga secara percuma,” katanya.

Terdahulu, pada Bazar Rakyat 2.0 tahun lalu, seramai 17,000 pengunjung menghadiri butik rakyat dan pada tahun ini setakat berita ini ditulis seramai 3,500 pengunjung telah hadir ke situ.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

20

Share and Enjoy !

Shares
Previous post 20 minit tarik lembu 180kg jatuh longkang
Next post JKM Melaka beri bantuan bulanan kepada moyang jaga enam cicit