200 pengembara luar negara dijangka masuk Melaka setiap hari
AYER KEROH 6 April – Segala persiapan untuk menerima kedatangan pengembara dari luar melalui jalan udara dan air ke negeri ini siap sepenuhnya dilakukan kerajaan negeri.
EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Zaidi Attan berkata, apabila pintu sempadan melalui air dibuka, Melaka dijangkakan akan menerima kira-kira 200 pengembara setiap hari terutamanya mereka yang datang dari Indonesia.
Beliau berkata, persiapan di Kompleks CIQ, Kota Laksamana dan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam, sudah siap sepenuhnya termasuk pusat kuarantin bagi menempatkan pengembara yang didapati positif COVID-19.
“Semua persiapan untuk menerima pengembara dari luar sudah kita susun sebaik mungkin dengan prosedur operasi standard (SOP) malah setiap proses juga kita sudah perincikan ini bagi memastikan apabila kita terima pelancong atau pengembara semuanya sudah siap.
“Kita kini sedang menunggu dari negara jiran untuk pembukaan pintu sempadan malah kalau pintu sempadan dibuka kita jangakakan sehari akan terima 200 pengembaran dari Indonesia ke negera kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Kempen Keselamatan Rumah dan Pengedaran Bubur Sempena Bulan Ramadan 2022 yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Razali Abu Samah serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman, di hadapan Melaka Mall, hari ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.