Jalan baharu Tebong-Hutan Percha bakal tingkatkan ekonomi penduduk

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

MACHAP JAYA 6 April – Rata-rata penduduk dan pengguna jalan raya sekitar Alor Gajah serta sempadan Negeri Sembilan meluahkan rasa gembira apabila jalan baharu Tebong-Hutan Percha akan dibuka selepas Aidilfitri bulan depan.

Menurut seorang pengguna jalan raya, Mohd Zikri Akmal, 27, dia yang tinggal di Batang Melaka dapat menggunakan laluan itu untuk pergi ke kerja di Alor Gajah dengan lebih cepat.

Katanya, jalan baharu itu lebih sesuai digunakan pada waktu siang dan bukan pada waktu malam selain turut mengingatkan pengguna jalan raya yang lain untuk tidak memandu laju apabila melalui jalan tersebut.

Mohd Zikri Akmal

“Saya antara penduduk yang mendapat manfaat apabila jalan baharu ini dibuka, sudah pasti akan memendekkan jarak dan masa.

“Kalau sebelum ini jarak perjalanan saya ikut jalan lama dalam 20 ke 30 minit dengan jarak 15 kilometer jauhnya, jadi dengan jalan baharu ini saya hanya perlu melalui jalan sejauh lima kilometer sahaja.

“Cuma jalan baharu ini saya rasa tidak sesuai untuk digunakan pada waktu malam kerana tiada lampu jalan dan banyak haiwan seperti lembu melintas, jadi berhati-hati gunakan jalan ini,” katanya.

Nada sama turut disuarakan seorang lagi pengguna jalan raya, M. Mayakrishnan, 53, yang juga mendapat manfaat daripada pembukaan jalan tersebut.

Dia yang tinggal di estet berhampiran akan menjadikan laluan baharu itu sebagai laluan utama untuk ke pekan berhampiran.

M. Mayakrishnan

“Saya lihat jalan baharu ini bukan sahaja memberi keselesaan kepada pengguna malahan akan meningkatkan lagi taraf ekonomi penduduk sekitar kawasan ini apabila jalan ini dibuka.

“Kemungkinan taman perumahan akan dibina dan saya lihat sistem perparitan yang dibuat di kiri dan kanan jalan baharu ini juga bagus.

“Penduduk di Kampung Hutan Percha hendak ke pekan Tebong membeli barang sudah mudah dan dekat selepas ini apabila jalan ini dibuka secara rasmi,” katanya.

Dalam pada itu tinjauan Melaka Hari Ini di jalan baharu tersebut mendapati kerja-kerja penanaman rumput sedang giat dijalankan selain terlihat kenderaan berat seperti lori membawa muatan berat sudah mulai menggunakan laluan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3025
Kongsi :
Previous post 200 pengembara luar negara dijangka masuk Melaka setiap hari
Next post Bubur lambuk perkasa konsep kongsi rezeki
Ubah saiz-+=