‘Tak sempat suap anak berbuka puasa’

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

PENGKALAN BATU 6 April – “Kebiasaannya setiap kali berbuka puasa, suami akan suap anak-anaknya setiap seorang, tetapi tahun ini dia tidak sempat…”

Itu detik hiba dikongsikan Yusriati Mohd Yunos, 42, balu kepada arwah Mohd Azizan Baba yang meninggal dunia akibat kanser, 22 Mac lalu.

Azizan yang merupakan bekas pemain bola sepak Melaka meninggalkan isteri serta lapan anak berusia 2 hingga 15 tahun.

Menurut Yusriati, suasana Ramadan tahun ini seakan kosong baginya dan keluarga apabila buat pertama kali tanpa kelibat suami dan bapa penyayang yang pergi buat selama-lamanya.

“Memang kosong, selama ini kami sangat rapat, berbuka bersama, bersahur bersama, malah arwah sangat rapat dengan anak-anak dan kita tidak pernah berpisah jauh dengan arwah.

“Sebelum meninggalkan kami, arwah sempat pesan kepada anak nombor dua untuk jaga ibu dan adik-beradik, malah sebelum dia pergi juga saya ada cakap kepada dia kalau boleh lawan (penyakit itu), lawanlah. Jika tidak, saya reda dan akan jaga anak-anak.

“Apapun, saya bersyukur anak-anak seakan sudah faham apa yang berlaku, Ramadan kali ini mereka tidak pernah minta apa-apa dan mereka berbuka puasa seadanya sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di kediamannya, hari ini.

Yusriati Mohd Yunos, 42 bersama lapan anaknya ketika ditemui di Kampung Bakar Batu, Bachang. Foto Iqmal Haqim Rosman

Mengimbau semula detik yang mengubah hidup mereka sekeluarga, Yusriati berkata, dia tidak menyangka kecederaan paha yang dialami arwah suaminya mampu merebak menjadi kanser yang membawa maut.

Katanya, selepas mengetahui terdapat sel kanser pada darah beku yang berlaku di paha arwah, suaminya mula mengikuti rawatan kanser di Hospital Sultan Ismail, namun kesihatannya semakin merosot apabila kanser itu sudah merebak ke paru-paru.

“Selepas kemoterapi kali kedua pada 13 Mac, arwah menjadi semakin lemah dan seminggu selepas itu arwah pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya dalam nada sebak.

Menurut Yusriati, kelima-lima anak lelakinya dilihat seakan berpotensi mengikut jejak langkah arwah suaminya dalam bola sepak apabila menunjukkan potensi.

Namun, baginya dan arwah suami, sejauh mana perjalanan anak-anak dalam sukan itu, bidang akademik adalah paling mustahak dan perlu dititik beratkan oleh anak-anak.

“Arwah pernah kata, bakat itu boleh digilap bila-bila masa, tambahan pula mereka sememangnya sudah ada potensi dalam bola sepak.

“Jadi, apa yang paling penting ialah mereka tidak abaikan pelajaran untuk berjaya di masa akan datang,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1200
Kongsi :
Previous post Lebih 320,000 pegawai, anggota dan veteran ATM terima bantuan khas Aidilfitri
Next post 200 pengembara luar negara dijangka masuk Melaka setiap hari
Ubah saiz-+=