
PPSPM OPTIMIS MELAKA RIVER CRUISE CAPAI SASARAN 14 JUTA PENGUNJUNG
BANDARAYA MELAKA 22 Mei – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) optimis mencapai sasaran 14 juta pengunjung bagi perkhidmatan Melaka River Cruise.
Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris berkata, berdasarkan rekod semasa Melaka River Cruise sudah menerima 10 juta orang bagi tempoh Januari hingga Mei atau 82 peratus daripada sasaran keseluruhan yang ditetapkan.
Menurutnya, jumlah pengunjung menunjukkan sedikit penurunan pada Mac dan April lalu berikutan faktor musim perayaan Aidilfitri serta peningkatan kos sara hidup yang memberi kesan kepada industri pelancongan.
“Pada Mac dan April ada sedikit penurunan, mungkin disebabkan bertembung dengan musim raya dan selepas raya ramai sudah berbelanja,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Perhimpunan Bulanan PPSPM Bagi Bulan Mei 2026 di Pejabat PPSPM, di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah Jabatan Pembangunan Perniagaan dan Korporat PPSPM Khairunnisa Ibno Masooda serta kakitangan PPSPM.
Tambahnya, PPSPM turut menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) kepada kakitangan sebagai usaha membantu meningkatkan jualan dan jumlah pengunjung.
“Kita mengambil kesempatan untuk menerangkan kepada kakitangan bahawa semua perlu bergerak bersama sebagai satu pasukan.
“Justeru, kita tetapkan sekurang-kurangnya setiap kakitangan membawa lima pengunjung setiap bulan. Sedikit sebanyak ia dapat membantu pihak pemasaran mencapai hasil jualan yang disasarkan.
“Industri pelancongan akan terkesan apabila jumlah pengunjung ke Melaka berkurangan dan semua pihak perlu memainkan peranan bagi memastikan sasaran yang ditetapkan dapat dicapai,” katanya.
KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris bersama kakitangan pada Perhimpunan Bulanan PPSPM Bagi Bulan Mei 2026 di Pejabat PPSPM Pengkalan Rama. Foto Iqmal Haqim Rosman
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

