‘2022 tutup buku’: Imbasan April 2022

Masa Membaca:3 Minit, 8 Saat

1 April 2022

Fasa Endemik: Sempadan negara dibuka 1 April

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Singapura membenarkan semua pengembara yang telah lengkap vaksinasi untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian COVID19, termasuk ujian pra-pelepasan dan semasa ketibaan bermula 1 April.
Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu terpakai ke atas semua kategori pengembara dan jenis pengangkutan darat berikutan kedua negara ini mengakui bahawa telah menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan khususnya dalam pelaksanaan program vaksinasi dan pengurusan pandemik COVID-19 bagi penduduk negara masing-masing.

15 April 2022

Perbadanan M-WEZ mula beroperasi 15 April 2022

SERI NEGERI – Perbadanan Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka (M-WEZ) secara rasminya mula beroperasi pada 15 April.
Ketua Menteri , Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata penubuhan perbadanan itu telah diluluskan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) 22 September lalu melalui Enakmen Perbadanan Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka 2021.
Katanya, agensi itu bertindak sebagai sebuah badan khas yang mengawal dan menyelaras segala bentuk pembangunan serta mempromosi kawasan M-WEZ.

18 April 2022

Pengeluaran KWSP RM10,000 dikredit lebih awal

KUALA LUMPUR – Pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 diawalkan kepada 18 April 2022 daripada 20 April.
Mantan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pengeluaran tersebut dikreditkan secara berperingkat agar ia dapat membantu mengurangkan beban yang ditanggung rakyat Malaysia.
Kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik COVID-19 melanda negara dua tahun lepas dan keputusan itu dibuat berdasarkan hasil kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam kalangan rakyat yang masih terkesan dari segi ekonomi, kehilangan pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.

22 April 2022

Agong dan Permaisuri adakan lawatan ke Melaka

BANDARAYA MELAKA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli berangkat bagi memulakan lawatan dua hari ke Melaka.
Keberangkatan tiba baginda berdua di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) pada jam 11.25 pagi 22 April lalu disambut Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri, Toh Puan Asmah Abd Rahman.
Turut hadir menyambut ketibaan pasangan diraja itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan isteri, Datin Seri Utama Munira M Yusop.

27 April 2022

Imbasan MySejahtera tidak lagi diwajibkan

PUTRAJAYA – Imbasan kod QR MySejahtera tidak diwajibkan apabila masuk premis atau tempat-tempat awam, kata mantan Menteri Kesihatan Khairy Jamaludin.
Ketetapan itu akan diberikan bermula 1 Mei.
Selain itu, katanya, kemasukan individu ke mana-mana premis juga adalah dibenarkan tanpa mengira status vaksinasi.

27 April 2022

Solat Sunat Aidilfitri dibenar dengan kapasiti penuh

PUTRAJAYA – Solat sunat Aidilfitri tahun 2022 dibenarkan dengan kapasiti 100 peratus namun semua jemaah perlu memakai pelitup muka ketika bersolat dan sepanjang berada di masjid atau surau, kata mantan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Mengumumkan protokol sambutan Hari Raya 2022 dalam sidang media di sini, Khairy berkata turut dibenarkan ialah takbir hari raya di masjid, surau dan rumah ke rumah dengan sentiasa memakai pelitup muka.

april (pkrc mitc tutup)
PKRC MITC ditutup. Foto: MR Azli

27 April 2022

PKRC MITC ditutup, rekod 26,159 pesakit COVID-19

AYER KEROH – Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Melaka (PKRC MITC) yang hampir setahun dibuka telah menempatkan seramai 26,159 pesakit COVID-19 di negeri ini.
Exco Kesihatan negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, jumlah itu membabitkan majoriti pesakit dari daerah Melaka Tengah iaitu sebanyak 47.6 peratus, diikuti Alor Gajah (33.6 peratus), Jasin (18.79 peratus) dan Tangkak, Johor (0.01 peratus).
Ia ditutup sepenuhnya mulai 30 April 2022.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1616
Kongsi :
Previous post Lelaki ditemukan mati di depan rumah dengan kesan cedera – Polis
Next post Kadar tol BESRAYA, LEKAS turun esok
Ubah saiz-+=