Kadar tol BESRAYA, LEKAS turun esok

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

KUALA LUMPUR, 31 Dis – Kadar tol di Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) dan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) diturunkan bermula pada 12.01 tengah malam ini, demikian diumumkan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata penurunan kadar tol itu dibuat selepas perbincangan dan persetujuan syarikat konsesi dua lebuh raya berkenaan iaitu IJM Corporation Berhad selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 21 Dis lepas. 

“Ia juga merupakan sebahagian penyusunan semula struktur dan kadar tol bagi dua lebuh raya terlibat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Menurut Nanta, penurunan kadar tol adalah sebanyak 15 sen bagi kenderaan kelas 1 yang melalui plaza tol Loke Yew dan Mines (arah Utara dan Selatan) di Lebuhraya Besraya.

Sementara itu, kadar tol bagi kenderaan kelas 1 untuk Lebuhraya LEKAS dikurangkan daripada 0.1811 sen/kilometer (km) kepada 0.1666 sen/km bagi sistem tol tertutup manakala bagi sistem tol terbuka iaitu di Plaza Tol Ampangan kadar tol kekal seperti sedia ada.

Nanta menjelaskan melalui penurunan kadar tol bermula tengah malam ini, kenderaan Kelas 1 yang melalui mana-mana plaza tol Lebuhraya Besraya akan membayar RM1.85 sehala manakala bagi pengguna yang menggunakan keseluruhan Lebuhraya LEKAS akan membayar RM7.80 sehala.

Kadar tol yang dikutip pada masa ini adalah sebanyak RM2 sehala bagi kenderaan kelas 1 yang melalui mana-mana plaza tol Lebuhraya Besraya dan RM8.30 sehala bagi kenderaan kelas 1 yang menggunakan keseluruhan Lebuhraya LEKAS.

“Melalui penyusunan semula struktur dan kadar tol bagi kedua-dua lebuh raya ini, kerajaan dapat menjimatkan peruntukan bayaran pampasan yang dianggarkan RM1.978 bilion sepanjang tempoh konsesi, dan peruntukan ini boleh disalurkan kepada keperluan asas lain rakyat Malaysia,” katanya.

Nanta berkata cadangan ini juga ialah tanda keprihatinan kerajaan dalam membantu rakyat yang berdepan dengan masalah kenaikan kos sara hidup ketika ini.

Selain itu, beliau berkata pihaknya sedang mengambil langkah berterusan untuk mengurangkan beban pengguna lebuh raya tanpa mengabaikan sebarang obligasi yang dipersetujui dengan memastikan kepentingan semua pihak terutamanya pengguna lebuh raya sentiasa dilindungi.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1809
Kongsi :
Previous post ‘2022 tutup buku’: Imbasan April 2022
Next post 2023 tahun transformasi lokasi ‘gelap’ Ayer Keroh
Ubah saiz-+=