2023 tahun transformasi lokasi ‘gelap’ Ayer Keroh

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER KEROH 31 Disember – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) akan menghidupkan semula dan memberi nafas baharu kepada beberapa lokasi sekitar Ayer Keroh yang sebelum ini dianggap ‘mati’ atau kawasan ‘gelap’.

Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Shadan Othman berkata, pembangunan lokasi berkenaan antara perancangan yang akan diusahakan pihaknya sepanjang 2023.

Katanya antara lokasi dikenal pasti untuk diberi nafas baharu adalah Urban Reforestation @ Sungai Putat dan perkara itu sudah dimasukkan ke dalam kajian kawasan Ayer Keroh.

“Perancangan MPHTJ 2023, adalah untuk memberi nafas baharu lokasi-lokasi gelap seperti Dataran Sejarah Ayer Keroh yang sebelum ini mati dan menjadi sarang maksiat selain Sungai Putat (Urban Reforestation) yang dahulunya sarang penyalahgunaan dadah.

“Sebelum membangunkan kawasan-kawasan ini, kita buat kajian kawasan rancangan khas dan terbukti di Dataran Sejarah Ayer Keroh semakin membangun, semakin diterima ramai, pengunjung juga kerap datang ke sini. Hampir setiap malam, kira-kira 500 pengunjung memenuhi lokasi yang baharu sahaja dibuka kepada umum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Malam Cinta Rasul Melaka Serambi Madinah di Dataran Sejarah Ayer Keroh, di sini, semalam.

Majlis itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam; Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali bersama isteri, Datin Seri Utama Munira M. Yusop dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari.

Mengulas lanjut, Shadan berkata Program Malam Cinta Rasul Melaka Serambi Madinah di Dataran Sejarah Ayer Keroh malam tadi merupakan acara penutup bagi tahun 2022.

Menurutnya kehadiran pengunjung luar biasa menjadi perangsang kepada warga MPHTJ untuk memberikan perkhidmatan lebih baik pada masa akan datang.

“Syukur Alhamdulillah, sempena Hari Perbandaran Hang Tuah Jaya ke-13 hari ini (semalam), kita memilih untuk mengadakan acara berselawat di Dataran Sejarah Ayer Keroh kerana lokasinya yang strategik.

“Secara tidak langsung dapat memperkenalkan produk baharu (Taman Cahaya Dataran Sejarah Ayer Keroh) kepada pengunjung,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3034
Kongsi :
Previous post Kadar tol BESRAYA, LEKAS turun esok
Next post ‘2022 tutup buku’: Imbasan Mei 2022
Ubah saiz-+=