21 warga Myanmar ditahan berpesta air

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

BUKIT MERTAJAM 18 April. – Polis menahan 21 warga Myanmar termasuk seorang wanita yang sedang berpesta air dan menari dengan muzik yang kuat di hadapan sebuah rumah di Taman Bidara, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung tindakan 21 individu berumur 20 hingga 30 tahun berkenaan sedang berpesta di hadapan rumah jenis teres itu sebelum menyerbu premis tersebut pada 2.30 petang.

“Semasa serbuan itu, kesemua mereka sedang bermain semburan air menggunakan paip getah dan turut membuat bising serta menari mengikut rentak muzik yang dipasang, malah mereka juga tidak mengamalkan penjarakan fizikal serta tidak memakai pelitup muka semasa berkumpul.

“Sebaik menyedari kehadiran polis, mereka cuba melarikan diri namun tindakan pantas kami mengepung kawasan itu berjaya menahan kesemua 21 individu berkenaan yang dipercayai bekerja kilang di sekitar kawasan Perai,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata semasa pemeriksaan dijalankan, seorang daripada lelaki yang ditahan dan disyaki mabuk telah menolak anggota polis dan dia juga tidak memberi kerjasama apabila diminta menunjukkan dokumen pengenalan diri termasuk meninggikan suara.

Shafee berkata kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat menurut Seksyen 186 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Peraturan 19 Peraturan Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021 kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor- Foto kredit-FB IPD Seberang Perai Utara.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, polis menahan dua lelaki kerana memandu dalam keadaan mabuk dan berbahaya dalam operasi yang dijalankan pihaknya di Jalan Chain Ferry, Butterworth awal pagi tadi.

Katanya, dalam operasi bermula pukul 12.30 tengah malam hingga 6 pagi, polis menahan dua lelaki berumur 35 dan 37 tahun yang bekerja sebagai mekanik serta pemandu lori kerana ujian saringan awal mendapati mereka memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Mereka memandu dalam keadaan mencurigakan dan pemeriksaan mendapati di bawah pengaruh alkohol, tindakan kedua-duanya bukan sahaja berbahaya kepada diri sendiri malah pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Beliau berkata dua lelaki itu kini direman untuk siasatan lanjut dan kes mereka disiasat menurut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

663
Kongsi :
Previous post Penggemar sup tulang ‘buru’ tulang tengkuk
Next post Seorang lagi individu direman bantu siasatan kes pukul pekerja berpuasa
Ubah saiz-+=