2,271 dikompaun sepanjang fasa PPN Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 16 Okt. – Sebanyak 2,271 kompaun telah dikeluarkan terhadap pelbagai kesalahan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak 1 Jun lalu.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah berkata, rekod dari Fasa 1 hingga 3 setakat 15 Oktober lalu mencatatkan sebanyak 1,043 kompaun dikeluarkan menerusi sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negeri dan 1,228 kompaun oleh kumpulan pemantau polis Melaka.

“Dalam pemantauan dilaksanakan seramai 1,048 anggota termasuk pegawai dari kontinjen Melaka telah digerakkan bagi menjalankan pemantauan bagi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Melaka.

“Dalam pematuhan itu kita telah melaksanakan SJR bergerak dan operasi pematuhan tidak beruniform di mana mereka telah menyelinap di mana-mana lokasi untuk menjalankan operasi pematuhan SOP,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media diadakan di pintu masuk Tol Ayer Keroh, di sini hari ini.

KAWALAN lalu lintas oleh polis di pintu masuk Ayer Keroh merupakan antara operasi pematuhan yang dijalankan sejak Fasa 1 PPN di Melaka.

Pada masa sama, beliau berkata disepanjang tempoh itu pihaknya turut merekodkan 10,683 saman trafik atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

Bagaimanapun katanya, setakat ini tiada sebarang kompaun melibatkan kemasukan pelancong ke negeri ini yang tidak lengkap dua dos vaksin dicatatkan.

“Mana-mana yang merentas negeri dan gagal melengkapkan dua dos vaksin boleh dikenakan tindakan dibawah undang-undang yang sedia ada iaitu Akta 342.

“Tindakan berupa kompaun sebanyak RM2,000 akan dikenakan bagi setiap kesalahan yang dilakukan individu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

764
Kongsi :
Previous post Ribuan pengunjung serbu Zoo Melaka
Next post 10,600 orang naik MTS dalam dua minggu
Ubah saiz-+=