Ribuan pengunjung serbu Zoo Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 16 Okt. – Cuti hujung minggu dan kebenaran rentas negeri menyaksikan Zoo Melaka, di sini, menerima sambutan cukup hebat daripada para pengunjung dalam dan luar Melaka.

Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati, sejak pagi lagi, lokasi tumpuan itu mula dipenuhi orang ramai dalam pelbagai peringkat umur.

Walaupun terpaksa beratur untuk mendapatkan tiket, namun rata-rata pengunjung yang hadir dilihat patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Shadan Othman ketika dihubungi Melaka Hari Ini, mengakui terdapat peningkatan mendadak jumlah pengunjung ke Zoo Melaka sejak pintu sempadan negeri dibuka Isnin lalu.

Katanya, semalam (Jumaat) sahaja, lebih 2,000 pengunjung telah direkodkan hadir ke zoo berkenaan dan jumlah itu dijangka meningkat pada hari ini (Sabtu) dan esok (Ahad).

“Keseluruhan boleh kita anggarkan peningkatan lebih 50 peratus pengunjung datang ke Zoo Melaka selepas pintu sempadan negeri dibuka.

“Rata-rata mereka datang dari luar Melaka terutama dari Johor dan Lembah Klang,” katanya.

Dalam pada itu, Shadan memaklumkan bermula semalam, pada setiap hari Jumaat dan Sabtu, Zoo Melaka Night Safari kembali dibuka kepada orang ramai bermula pada jam 8 hingga 11 malam.

“Kepada mereka yang ingin merasai pengalaman melihat tabiat haiwan pada waktu malam, bolehlah datang menyaksikannya sendiri di Zoo Melaka Night Safari.

“Ia hanya akan dibuka pada Jumaat dan Sabtu sahaja pada setiap minggu, jadi jangan lepaskan peluang,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1365
Kongsi :
Previous post 64,471 kenderaan masuk ke Melaka
Next post 2,271 dikompaun sepanjang fasa PPN Melaka
Ubah saiz-+=