64,471 kenderaan masuk ke Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 16 Okt. – Polis Melaka merekodkan pertambahan sebanyak 59 peratus kemasukan kenderaan ke negeri ini atau 64,471 membabitkan tiga pintu utama negeri sejak dua hari lalu.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah berkata, peningkatan sebanyak 16,739 kemasukan kenderaan direkodkan membabitkan ketiga-tiga plaza tol iaitu di Simpang Ampat, Ayer Keroh dan Lipat Kajang.

“Menerusi ketiga-tiga pintu masuk utama negeri, sebanyak 64,471 kenderaan masuk ke Melaka direkodkan sejak dua hari lalu dengan sebanyak 23,866 kemasukan pada kelmarin dan 40,605 kenderaan sejak semalam.

“Manakala, sebanyak 55,902 kenderaan keluar turut direkodkan dengan sebanyak 23,235 kenderaan pada kelmarin dan 32,667 kenderaan pada Jumaat,” katanya.

TIMBALAN Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah

Beliau berkata demikian pada sidang media diadakan di Plaza Tol Ayer Keroh, di sini hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, pemantauan berterusan akan dilaksanakan pihaknya di ketiga-tiga pintu masuk negeri tersebut bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kepada orang ramai sebelum memasuki negeri ini.

“Kita akan pantau ketiga-tiga tol ini dan sekatan jalan raya (SJR) juga akan kerap dilaksanakan termasuk SJR bergerak dan di kawasan tumpuan utama pelacongan negeri.

“Saya ingin mengingatkan pelancong yang ingin memasuki Melaka bagi menjalankan pelbagai tujuan seperti beriadah dan sebagainya supaya mematuhi SOP sewajarnya.

“Jangan sesekali cuba memasuki Melaka tanpa vaksin lengkap dan tindakan tegas akan diambil bagi memastikan pembukaan Melaka kepada sektor pelancongan tidak akan menjejaskan keselamatan negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

699
Kongsi :
Previous post Pembinaan jeti nelayan Telok Mas, Pantai Puteri ditangguhkan
Next post Ribuan pengunjung serbu Zoo Melaka
Ubah saiz-+=