Pembinaan jeti nelayan Telok Mas, Pantai Puteri ditangguhkan

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

TELOK MAS 16 Okt. – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) terpaksa menangguhkan projek pembinaan dua buah jeti di negeri ini atas sebab-sebab tertentu.

Timbalan Menteri Pertanian I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, kedua-dua projek di Tanjung Nibong Telok Mas dan Pantai Puteri bernilai lebih RM1 juta itu belum dapat dimulakan berikutan terdapat beberapa isu pemilikan tanah.

“Projek di Telok Mas yang menelan peruntukan RM300,000 dan projek jeti di Pantai Puteri sebanyak RM774,922 kita tak dapat mulakan kerana ada masalah status tanah.

“Tanah itu ialah tanah kerajaan, jadi kita perlu mendapat kelulusan daripada beberapa pihak terlebih dahulu

“Insya-Allah sekiranya dalam masa terdekat kita dapat menyelesaikan isu status tanah tersebut, kita akan menyegerakan pembinaan dua jeti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Lesen Sampan Khas kepada 52 nelayan di Pengkalan Nelayan Tanjung Nibong, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Datuk Wira Ghazale Muhammad, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Banda Hilir Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Pengarah Perikanan Melaka Mohd Fauzi Salehon.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, pihaknya bersama Jabatan Perikanan Melaka turut mengambil inisiatif melepaskan 80,000 benih ikan lampam krai di Tasik Chin Chin pagi ini, dalam usaha memelihara spesis ikan tempatan.

Katanya sejak Januari hingga Oktober, sebanyak 216,000 benih ikan dan 300,000 benih udang telah dilepaskan di perairan negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

917
Kongsi :
Previous post 5,500 jawatan kosong untuk rakyat Melaka
Next post 64,471 kenderaan masuk ke Melaka
Ubah saiz-+=