250 jemaah dapat tunai solat Jumaat di Masjid Al-Alami

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat
YANG di-Pertua Negeri Tun Datuk Seri (Dr) Haji Mohd Ali Mohd Rustam (kanan) dan Ketua Menteri Datuk Haji Sulaiman Md Ali (kiri) menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Azim.

AYER KEROH 12 Jun – Buat pertama kalinya dalam tempoh tiga bulan, Masjid Al-Alami, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini kembali meriah dengan kehadiran jemaah untuk menunaikan solat Jumaat.

Ia berikutan Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) kali ke-6 dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) telah membenarkan pertambahan bilangan jemaah di masjid-masjid dan surau di Melaka untuk menunaikan solat Jumaat dan solat fardu berkuat kuasa hari ini.

Menurut Bilal Masjid Al-Alami, Muhamad Yusof Zainal Abidin, ekoran daripada kebenaran tersebut, seramai 250 jemaah telah hadir ke masjid itu hari ini untuk menunaikan solat Jumaat.

Katanya, daripada jumlah tersebut, pihak masjid telah memberi jemputan kepada 130 jemaah, manakala selebihnya berdasarkan kaedah ‘first come, first serve’.

“Sejak solat Jumaat diberi kebenaran pada penghujung Mei, kami telah membuka permohonan kepada semua jemaah di sini dan telah menerima lebih 500 permohonan untuk menjadi jemaah solat Jumaat. Jadi, dari situ, kita akan menghantar jemputan kepada jemaah yang sudah memberi nama.

“Memandangkan masjid ini terletak berhampiran bangunan kerajaan, setiap minggu kita akan memilih beberapa jabatan kerajaan dan pada masa sama kita juga ada kuota untuk syarikat swasta serta pekerja kilang. Jadi, kita akan membuat pemilihan dari situ dan selebihnya kita beri peluang kepada sesiapa yang datang dahulu,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI).

Bagaimanapun, Muhamad Yusof berkata, semua jemaah yang hadir diwajibkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuklah memakai topeng pelitup muka, membawa sejadah sendiri, mengambil wuduk di rumah dan mengamalkan penjarakan sosial.

Selain itu, ujarnya, pihak masjid turut mengambil suhu dan mencatat nama-nama jemaah yang hadir bagi tujuan simpanan rekod sekiranya berlaku kes yang tidak diingini.

Tinjauan MHI di masjid berkenaan mendapati semua jemaah mematuhi semua SOP yang ditetapkan sebaik tiba di perkarangan masjid sehingga selesai solat Jumaat.

Sementara itu Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Seri (Dr) Haji Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Haji Sulaiman Md Ali menyertai jemaah setempat menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Azim di Bukit Palah.

Kerajaan negeri baru-baru ini mengumumkan kebenaran untuk penduduk Melaka solat berjemaah di masjid dan surau termasuklah pertambahan bilangan jemaah untuk solat Jumaat, bermula hari ini.

Jumlah jemaah bagaimanapun dihadkan kepada 40 peratus daripada kapasiti sebenar masjid dan surau iaitu bagi yang berkapasiti 400 jemaah dihadkan tidak lebih 160 jemaah, manakala bagi masjid-masjid besar dibenarkan maksimum 250 jemaah sahaja.

Views:

522
Kongsi :
Previous post PKPP khabar indah buat pemilik hom2stay
Next post Bekas peguam didakwa pecah amanah
Ubah saiz-+=