Bekas peguam didakwa pecah amanah

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

AYER KEROH 12 Jun – Seorang bekas peguam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan melakukan pecah amanah terhadap firma guamannya membabitkan wang tunai berjumlah lebih RM300,000.

Tertuduh, Tuah Atan, 60, yang juga orang kelainan upaya (OKU), bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus kesemua enam pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan curang melakukan pecah amanah membabitkan wang bayaran pelbagai urusan yang berjumlah RM358,344.08.

Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh menerusi enam transaksi berasingan melalui akaun bank milik firmanya di Taman Melaka Raya, dekat sini antara 27 Oktober 2005 hingga 28 November 2007.

Justeru tertuduh didakwa melakukan kesalahan dibawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, prosiding pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunus mencadangkan jumlah jaminan RM15,000 dikenakan bagi setiap pertuduhan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudian merayu agar jumlah jaminan yang rendah dikenakan dengan alasan dia kini tidak mempunyai sumber pendapatan selain perlu mendapatkan rawatan di hospital akibat masalah kesihatan.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM28,000 bagi kesemua pertuduhan selain menetapkan 28 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Views:

321
Kongsi :
Previous post 250 jemaah dapat tunai solat Jumaat di Masjid Al-Alami
Next post Menara Taming Sari tawar diskaun 50 peratus sempena pembukaan semula
Ubah saiz-+=