3 ingatan untuk penjawat awam Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

AYER KEROH 21 Mei – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menggariskan tiga perkara yang perlu diberi perhatian oleh penjawat awam Negeri Melaka.

Menurut beliau, perkara itu merupakan penambahbaikan yang perlu dilakukan bagi meningkatkan lagi kecekapan tadbir urus demi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Menurut Ab Rauf, perkara pertama yang perlu diberi perhatian ialah memperkukuh kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan.

Beliau menegaskan, segala anasir dan karenah birokrasi dalam sistem penyampaian kepada rakyat adalah tidak dibenarkan dalam kalangan penjawat awam.

“Saya mahu penjawat awam menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih bagi mengelakkan kemarahan rakyat kepada perkhidmatan kerajaan.

“Apabila ‘system delivery’ yang menjadi kunci keutamaan dalam penyampaian, lemah, maka akan berlakunya ketirisan dan kegagalan dalam matlamat pembangunan Kerajaan Negeri,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Mei 2024 di Grand Ballroom, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas-tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Salhah Saleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri, ketua-ketua jabatan serta lain-lain kenamaan.

Ketua Menteri berkata, perkara kedua ialah mengutamakan ketelusan dalam aspek pengurusan.

Jelas beliau, sebagai penjawat awam yang berkaliber, elemen penilaian amat penting untuk mewujudkan ketelusan yang mana apabila diformulasikan bersama dengan elemen kecekapan, ia akan meningkatan tahap profesionalisme dan keefisienan dalam sesebuah operasi.

“Setiap proses perolehan kerja hendaklah dirancang dengan lebih awal agar dapat mencapai sasaran di samping menjadikan segala dasar dan pelaksanaan di Malaysia lebih manusiawi yang sentiasa ditambahbaik menerusi musyawarah dan maklum balas rakyat,” katanya.

Beliau berkata, perkara terakhir ialah pemupukan nilai dan etika kerja yang cemerlang yang mana penjawat awam perlu mengaplikasi cara kerja terbaik terutama melibatkan perkhidmatan kebajikan dan kesejahteraan rakyat Negeri Melaka.

Tegas Ketua Menteri, sekiranya menerima aduan berhubung mana-mana penjawat awam yang tidak mempraktikkan nilai etika dan budaya kerja yang baik khususnya dalam menyantuni rakyat, beliau akan terus mengambil tindakan tegas tanpa sebarang kompromi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

161
Kongsi :
Previous post Melaka negeri pertama angkat kejohanan ‘dam aji’
Next post Ab Rauf cakna keselamatan rakyat Melaka
Ubah saiz-+=