Melaka negeri pertama angkat kejohanan ‘dam aji’

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 21 Mei – Kejohanan Dam Aji Terbuka Negeri Melaka akan diperkenalkan pada Jun ini sebagai satu lagi tarikan terbaharu untuk menarik kedatangan pelancong dan pengunjung.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kejohanan itu bakal menawarkan hadiah RM10,000 kepada juara, sekali gus menjadikan Melaka negeri pertama menganjurkan pertandingan seumpamanya dalam skala besar.

“Satu lagi produk pelancongan baharu akan dilancarkan Kerajaan Negeri menerusi Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) negeri iaitu tentang pertandingan dam aji terbuka kejohanan Kerajaan Negeri Melaka.

“Kita sedang mencari ‘design’ terbaik untuk pertandingan dam aji ini dijadikan sebagai satu permainan rakyat negeri, selain ia juga boleh dijadikan cenderamata kepada pelancong dan pengunjung.

“Kalau dahulu kita beli papan catur di kedai-kedai atau pasar raya, kita juga sedang merencanakan agar papan dam aji ini dibuat secara komersial yang boleh dibeli di pasar raya atau kios cenderamata seluruh Malaysia yang mana produknya datang dari Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Mei 2024 anjuran Yayasan Melaka, di Grand Ballroom, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas-tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Salhah Saleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri, ketua-ketua jabatan serta lain-lain kenamaan.

Terdahulu dalam ucapannya, Ab Rauf berkata pertandingan itu akan memberi manfaat kepada penduduk kampung khususnya rakyat Melaka untuk memperkenalkan permainan tradisi itu kepada generasi akan datang.

“Setiap orang kampung akan menyertai permainan bermanfaat ini bagi mendapatkan hadiah ditawarkan.

“Saya mahu usaha ini dihebahkan kepada semua agar permainan tradisi ini dapat diwarisi generasi akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

804
Kongsi :
Previous post Nikmati produk pelancongan pada harga RM10, 1 Jun ini
Next post 3 ingatan untuk penjawat awam Melaka
Ubah saiz-+=