Nikmati produk pelancongan pada harga RM10, 1 Jun ini

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

AYER KEROH 21 Mei – Sektor pelancongan Melaka selepas jam 11 malam dijangka semakin rancak menerusi inisiatif ‘Melaka Bila Larut Malam’ atau ‘Melaka Nightlife’ yang bermula 1 Jun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, menerusi inisiatif itu, beberapa produk pelancongan utama di Melaka akan menawarkan tiket kemasukan pada harga RM10 sahaja untuk pelancong dan pengunjung.

Jelas beliau, antara produk pelancongan terlibat dengan pakej tersebut adalah Menara Taming Sari, Melaka River Cruise dan muzium-muzium yang bermula pada jam 11 malam hingga 2 pagi, manakala Zoo Melaka pula bermula pada jam 10 malam hingga 12 tengah malam.

“Pakej dan tarikan terbaharu ini kita perkenalkan bagi memberi galakan kepada aktiviti pelancongan di Negeri Melaka selepas jam 11 malam.

“Kalau kita lihat, semua kawasan tarikan pelancong mengenakan bayaran yang agak tinggi pada waktu siang dan waktu puncak, maka kita telah fikirkan cara untuk meraikan lagi pelancong dan pengunjung ini melawat tempat tarikan mengikut kemampun masing-masing.

“Jadi, saya amat berharap pemain-pemain industri pelancongan yang ada di negeri ini boleh bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam bersama-sama mempromosikan Melaka Bila Larut Malam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Mei 2024 di Grand Ballroom, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas-tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Salhah Saleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri, ketua-ketua jabatan serta lain-lain kenamaan.

Menariknya, Ketua Menteri memaklumkan, bagi setiap pembelian empat tiket masuk secara berkumpulan, pengunjung akan diberi satu tiket percuma.

Malah, ujar beliau, pembelian empat tiket itu juga layak menyertai cabutan bertuah dan kupon diskaun TMM2024.

“Pengunjung juga layak menerima kupon cabutan bertuah dengan membeli cenderamata khas Tahun Melawat Melaka 2024 yang bernilai serendah RM10,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri juga akan berbincang bersama pengayuh beca yang merupakan duta kecil pelancongan Melaka untuk bersama-sama menjayakan Melaka Bila Larut Malam.

“Pastinya tidak akan rugi dan semuanya akan memperoleh keuntungan daripada inisiatif yang kita jayakan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

647
Kongsi :
Previous post ‘MyMelaka News’ dalam platform Telegram untuk rakyat Melaka – KM
Next post Melaka negeri pertama angkat kejohanan ‘dam aji’
Ubah saiz-+=