Ab Rauf cakna keselamatan rakyat Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 21 Mei – Kerajaan Negeri akan mengadakan perbincangan bersama anggota pasukan keselamatan dan pihak atasan dalam usaha mengurangkan kadar jenayah di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, usaha itu bagi memastikan keselamatan rakyat dan petugas barisan hadapan di negeri ini lebih terpelihara dan terurus.

Jelas beliau, perkara itu penting berikutan beberapa siri insiden serangan yang berlaku kepada pemain bola sepak negara dan anggota polis di Ulu Tiram, Johor.

“Saya menyeru kepada anggota pasukan keselamatan seperti polis, tentera, penguatkuasa, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan lain-lain bersiap siaga sepanjang menjalankan tugas harian.

“Saya mahu tuan-tuan dan puan-puan lebih berhati-hati dan sentiasa meletakkan keselamatan diri sebagai keutamaan sewaktu bertugas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Mei 2024 anjuran Yayasan Melaka, di Grand Ballroom, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas-tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Salhah Saleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri, ketua-ketua jabatan serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, Melaka mempunyai sebanyak 36 balai polis dan tiga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

“Menurut laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Melaka melalui statistik indeks jenayah daripada bulan Januari hingga April 2024 menunjukkan trend peningkatan sebanyak 22.2 peratus.

“Ini meliputi sebanyak 507 kes berbanding tempoh yang sama bagi tahun 2023 iaitu sebanyak 415 kes,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

70
Kongsi :
Previous post 3 ingatan untuk penjawat awam Melaka
Next post Pelajar Politeknik Merlimau maut kereta bertembung lori dedak
Ubah saiz-+=