30 bot berhias semarak merdeka di perairan Jasin

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

MERLIMAU 10 September – Semarak Gemilang 2023 Peringkat Daerah Jasin mencipta kelainan apabila menampilkan perarakan 30 bot berhias di perairan Kuala Serkam hingga Kuala Merlimau.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, penyertaan kali ini sedikit berbeza kerana melibatkan para nelayan untuk menyemai semangat kemerdekaan ke-66.

“Perarakan bot berhias bermula seawal jam 8 pagi di Jeti Kuala Serkam sehingga ke Jeti Kuala Merlimau, ia turut melibatkan sebanyak 17 agensi Kerajaan Negeri.

“Alhamdulillah sambutan sangat menggalakkan, program ini memberi satu kelainan bagaimana kita menyambut bulan kemerdekaan.

“Biasanya kita melihat konvoi dengan motosikal, kereta dan sebagainya, tetapi tahun ini kita cipta kelainan dengan menampilkan bot berhias,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Semarak Gemilang 2023 Peringkat Daerah Jasin di Jeti Kuala Merlimau di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia(JaPen) Negeri Melaka, Shahrom Ravin Daram Abdullah; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Rosemanizam Mohd Nalif dan Pegawai Daerah Jasin, Datuk Rahizi Ranom.

Dr. Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau berkata, Kerajaan Negeri akan memastikan sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun hadapan akan turut mencipta kelainan.

“Insya-Allah tahun hadapan kita akan fikirkan (cara) yang lain mungkin ada acara yang lebih memberi kelainan untuk kita semarakkan lagi bulan kemerdekaan kita,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2795
Kongsi :
Previous post Komuniti Madani JaPeN promosi TMM2024
Next post Nelayan tuai hasil ‘kerang padu’ Disember ini
Ubah saiz-+=