Nelayan tuai hasil ‘kerang padu’ Disember ini

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

MERLIMAU 10 September – Nelayan di perairan Jasin akan mula menuai hasil ternakan kerang padu pada Disember ini.

 

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, hasil ternakan itu sekali gus memberi sumber pendapatan baharu kepada nelayan yang terlibat.

“Alhamdulillah setakat ini projek ternakan kerang berjalan dengan baik dan nelayan hanya menunggu masa untuk kutip hasil.

“Dijangka bulan Disember ini hasilnya akan kita dapat, rata-rata nelayan tidak punyai masalah mengenai ternakan, melainkan masalah pencerobohan individu yang cuba mencuri benih kerang.

“Tetapi masalah itu telah kita selesaikan dengan bantuan semua agensi terlibat, kita akan tengok hasilnya nanti dan sama-sama nantikan kupang dan kerang padu yang hanya ada di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Semarak Gemilang 2023 Peringkat Daerah Jasin di Jeti Kuala Merlimau di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Negeri Melaka, Shahrom Ravin Daram Abdullah; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Rosemanizam Mohd Nalif dan Pegawai Daerah Jasin, Datuk Rahizi Ranom.

Mengulas lanjut, Dr. Muhamad Akmal berkata, pihaknya masih belum dapat menjangkakan berapa tan hasil yang akan diperoleh pada tuaian pertama hujung tahun ini.

Namun, beliau percaya, hasil-hasil itu dapat membantu nelayan menjana sumber pendapatan alternatif selain menangkap ikan di laut.

“Sudah tentu ia memberikan pulangan sangat baik kepada nelayan kita dan pada masa yang membantu nelayan daripada hanya mengharap hasil laut seperti ikan.

“Selain itu juga kita galakkan persatuan nelayan untuk fokus kepada ekonomi hiliran bukan hanya menangkap ikan semata-mata,” katanya.

Sebelum ini Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM990,000 bagi pembangunan Projek Kebun Kerang dan sistem panggar kupang di Melaka sejak tahun lalu.

Menurut Dr. Muhamad Akmal, sebanyak 18 lot kebun kerang telah dibangunkan di sekitar perairan negeri ini yang mana ia dikelolakan Jabatan Perikanan membabitkan seramai 113 nelayan di sekitar daerah Jasin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

868
Kongsi :
Previous post 30 bot berhias semarak merdeka di perairan Jasin
Next post Mangsa gangguan seksual dalam talian digesa buat laporan
Ubah saiz-+=