30 dikompaun kerana buang sampah – MBMB

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 5 Mei – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengeluarkan kompaun berjumlah hampir RM15,000 terhadap 30 individu kerana didapati membuang sampah ‘litter’ di merata-rata kawasan melibatkan lokasi tumpuan awam sekitar Banda Hilir, di sini.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata kompaun itu dikeluarkan sepanjang Operasi Bandaraya Ekosistem Bersih Aspirasi Semua (BEBAS) dijalankan bermula musim Hari Raya Aidilfitri dari jam 8.30 malam sehingga 12 tengah malam.

Shadan berkata, individu berkenaan dikesan membuang sampah seperti puntung rokok, tisu, pelitup muka dan botol air.

“Sementara itu pengusaha kedai sekitar Jonker Walk dan Little India pula diberikan notis peringatan agar tidak meletakkan sisa sampah kedai mereka bukan pada waktu kutipan sampah.

“Hasil pemantauan setiap hari bersama anggota penguatkuasa, didapati masih ramai dalam kalangan orang awam dan pengusaha premis perniagaan yang degil dan tidak mengikut arahan ditetapkan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya setiap kali operasi pihaknya mengumpul hampir 20 beg plastik hitam bersaiz besar mengandungi pelbagai jenis sisa buangan litter dikutip.

Ujarnya mereka yang berdegil dan masih melakukan kesalahan yang sama akan dikenakan kompaun minimum sebanyak RM250 dan maksimum RM500.

“Ada yang pernah kena kompaun tetapi tetap berdegil, lakukan kesalahan sama. Kita masih ada belas kasihan jika kesalahan kecil kompaun minimum akan diberikan kepada pelaku, tetapi bagi pengusaha kedai kita akan beri kompaun RM500.

“Jika pengusaha kedai masih lakukan kesalahan sama, kita tidak teragak-agak untuk kenakan kompaun setiap hari sehingga mereka akur kepada arahan diberikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2224
Kongsi :
Previous post Kuat demi anak-anak pesan terakhir arwah suami
Next post Wanita Vietnam didakwa serang, halang tugas polis
Ubah saiz-+=