3,000 delegasi dunia berkampung di Melaka 2025

Masa Membaca:2 Minit, 19 Saat

PUTRAJAYA 4 Disember – Lebih 3,000 delegasi dunia terdiri daripada Menteri Pelancongan dari 159 buah negara bakal berhimpun di Melaka pada tahun 2025.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, ia bersempena Hari Pelancongan Dunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) yang dijadual berlangsung selama tiga hari pada 27 hingga 29 September 2025.

Menurut beliau, WTD 2025 dan WTC 2025 merupakan penganjuran kali pertama di Malaysia dan Negeri Melaka telah dipilih sebagai venue acara bertaraf global itu.

“Penganjuran WTD 2025 mencatat sejarah kerana buat pertama kali Malaysia menjadi tuan rumah selepas ia diputuskan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Pelancongan Sedunia (UNWTO) sesi ke-25 di Samarkand, Uzbekistan pada 19 Oktober lalu.

“WTC pula pernah dianjurkan di Sabah pada tahun lalu dan kita telah mengambil keputusan bagi penganjuran WTC 2025 turut dianjurkan di Negeri Melaka secara serentak bersempena WTD 2025.

“Penganjuran WTC adalah sepanjang tiga tahun sekali manakala WTD dalam tempoh lima tahun sekali, jadi pemilihan Malaysia menerusi Melaka sebagai tuan rumah ini adalah satu keputusan menggembirakan dan menyasarkan lebih 3,000 peserta terdiri daripada 500 ahli UNWTO serta Menteri Pelancongan dari 159 negara akan hadir dalam penganjuran itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat ‘Kick-Off’ Penganjuran WTD dan WTC 2025 di Bilik Mesyuarat Perdana, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Roslan Abdul Rahman; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Datuk Md Azhan Samat; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Salhah Salleh; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Sa’ari Basiron serta tetamu lain.

Dalam pada itu, King Sing berkata, pemilihan Melaka sebagai tuan rumah bertepatan dengan pencapaian negeri itu dalam pembangunan sektor pelancongan yang berjaya membawa nama Melaka sebagai destinasi pelancongan dunia.

Menurutnya, identiti Melaka juga sebagai cerminan kepada Malaysia berikutan sejarah yang ada di negeri itu menjadi faktor utama Melaka dipilih bagi penganjuran julung kali ini.

“Mengimbau kembali sejarah pada abad ke-15, Laksamana Cheng Ho telah berkunjung ke Melaka, antara lain untuk menjalinkan hubungan diplomatik dan perdagangan antara China-Malaysia dan seluruh Asia Tenggara pada ketika itu.

“Ramai lagi pedagang, pengembara dan masyarakat seluruh dunia menjejakkan kaki di Melaka dan sebab itulah kita dapat lihat negeri ini begitu banyak peninggalan sejarah yang amat bernilai tinggi.

“Baik dari segi makanan yang beraneka jenis, bangunan-bangunan dan rumah-rumah ibadat bersejarah, warisan-warisan unik serta kepelbagaian agama, budaya ada di Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

782
Kongsi :
Previous post Pensyarah, pelajar selami budaya Orang Asli
Next post WTD, WTC 2025 lonjak pelaburan, sektor pelancongan Melaka – KM
Ubah saiz-+=